Saidina
Umar Al-Khattab adalah seorang yang dibangga-banggakan oleh kaum
muslimin. Semangat keislamannya masih digeruni oleh orang kafir sehingga
ke hari ini walaupun telah menjangkau ribuan tahun. Sebelum memeluk
Islam, Saidina Umar adalah orang yang paling kuat menentang dan menyeksa
orang Islam malahan beliau juga senantiasa cuba berusaha untuk membunuh
Rasulullah SAW.
Pada
suatu hari dikisahkan, kaum musyrikin Mekah telah bermesyuarat. Adakah
sesiapa yang sanggup untuk membunuh Muhammad? Lalu Umar berkata "Saya
akan melakukannya."
Musyrikin
Mekah berkata "Hanya engkau sahaja yang boleh melakukan pembunuhan
itu." Umar lantas bangun dan membawa sebilah pedang untuk membunuh
Rasulullah SAW.
Semasa
dalam perjalanan dan sibuk memikirkan perancangan beliau untuk membunuh
Rasulullah SAW, Umar telah bertemu dengan seorang lelaki bani Zuhrah
yang bernama Sa'ad bin Abi Waqqas (sesetengah perawi menamakan sahabat
yang lain). Lelaki itu bertanya "Wahai Umar, hendak ke manakah engkau? "
Lalu Umar menjawab, "Aku sedang memikirkan untuk membunuh Muhammad."
Lelaki
itu berkata, "Bagaimana engkau boleh merasa selamat dari bani Hasyim,
bani Zuhrah dan bani Abdul Manaf ? Mereka akan membunuh kamu sebagai
tindakan balas".
Mendengarkan
kata-kata Sa'ad bin Abi Waqqas, Umar naik berang lalu mengeluarkan
pedangnya sambil berkata "Nampaknya engkau pun telah meninggalkan
agamamu (iaitu memeluk Islam). Biar aku bereskan engkau terlebih
dahulu."
Sa'ad bin Abi Waqqas juga mengeluarkan pedang dan berkata "Ya!, aku juga telah memeluk Islam."
Pertarungan
hampir tercetus antara mereka. Sa'ad bin Abi Waqqas berkata "Ambillah
tahu hal keluargamu dahulu, adik perempuan dan iparmu juga telah memeluk
Islam." Mendengarkan berita itu, kemarahan Umar jadi meluap-luap dan
beliau bergegas menuju ke rumah adiknya.
Di
rumah adik Saidina Umar, Khabbab sedang mengajarkan Al-Quran
kepada pasangan suami isteri itu dalam keadaan semua pintu tertutup.
Umar meminta supaya pintu dibuka.
Mendengarkan
keadaan itu, Khabbab segera menyembunyikan diri dari Umar. Dalam
keadaan kelam kabut tersebut, lembaran-lembaran yang tertulis
ayat Al-Quran telah tertinggal di luar.
Adiknya
telah membuka pintu dan Umar mengetuk kepala adiknya itu dengan sesuatu
yang ada ditangannya menyebabkan kepala adiknya berlumuran darah.
Umar
berkata "Wahai musuh kepada dirimu sendiri, kamu juga telah
meninggalkan agamamu." Selepas itu Umar masuk ke dalam rumah, beliau
bertanya "Apakah yang sedang kamu lakukan?, Suara siapakah yang aku
dengar tadi?".
Iparnya menjawab, "Kami sedang berbual-bual sahaja".
Umar bertanya lagi, " Adakah kamu telah meninggalkan agamamu dan menganut agama baru?"
Iparnya menyambut, "Bagaimana jika agama baru itu benar?"
Kata-kata
iparnya telah membuatkan Umar naik berang, beliau menarik janggut
iparnya, menerkam, menjatuhkannya lalu memukul iparnya sepuas hati.
Adiknya
cuba meleraikan pergelutan tersebut tetapi ditampar oleh Umar
menyebabkan mulut adiknya berdarah. Lalu Adik Umar berkata kepada Umar
"Wahai Umar!, Kami dipukul hanya kerana kami memeluk Islam,
Sememangnya kami telah pun memeluk Islam, Buatlah apa-apa yang kamu
suka."
Umar
ternampak lembaran-lembaran yang tertulis ayat suci Al-Quran yang
ditinggalkan oleh Khabbab dalam keadaan tergesa-gesa tadi. Beliau
meminta kepada adiknya untuk melihat apa yang tertulis di lembaran
tersebut. Kemarahan Umar telah mula reda setelah memukul dengan
bertubi-tubi tadi dan perasaan malu mula timbul kerana adik perempuannya
berlumuran darah akibat pukulannya.
"Tunjukkan lembaran itu kepadaku" pinta Umar
"Kamu tidak suci!, tangan yang tidak suci tidak boleh menyentuhnya", balas adiknya.
Walau
dipinta berkali-kali oleh Umar, namun adiknya tetap berkeras tidak mahu
menunjukkan lembaran itu kepada orang yang tidak mandi junub dan tidak
berwuduk.
Kemudian Umar
akur dan beliau mandi terlebih dahulu sebelum menyentuh dan membaca
lembaran suci itu. Di lembaran itu tertulis Surah Toha, Umar membaca
surah itu sehingga ke ayat:
Yang bermaksud : "Sesungguhnya
Akulah Allah; tiada tuhan melainkan Aku; oleh itu, sembahlah akan Daku,
dan dirikanlah sembahyang untuk mengingati Daku.
Surah Toha Ayat 14
Keadaan beliau berubah sama sekali. Lalu Beliau berkata, "Baiklah, bawalah aku berjumpa dengan Muhammad."
Mendengarkan
kata-kata itu, Khabbab keluar dari persembunyiannya dan berkata, "
Wahai Umar!, Aku menyampaikan berita gembira kepadamu. Semalam ialah
malam Jumaat, Rasulullah SAW telah berdoa, "Ya Allah!, Pilihlah antara
Umar atau Abu Jahal yang engkau lebih suka untuk menguatkan Islam."
(Saidina Umar dan Abu Jahal terkenal dengan kekuatan). Nampaknya doa
Baginda telah diperkenankan untuk dirimu". Selepas itu Umar telah pergi
bertemu Rasulullah SAW dan memeluk Islam pada pagi Jumaat.
Pengislaman
Saidina Umar telah menyebabkan semangat orang kafir mula luntur. Namun
jumlah orang Islam di Mekah pada waktu itu masih kecil berbanding dengan
Orang Kafir. Oleh sebab itu, Kaum Musyrikin Mekah semakin marah dan
sentiasa merancang untuk menghapuskan orang Islam.
Namun
dengan keislaman Saidina Umar Al-Khattab, Orang Islam telah berani
bersolat di Masjidil Haram. Abdullah bin Mas'ud berkata, "Keislaman Umar
ialah satu kejayaan untuk orang Islam, penghijrahan beliau ialah satu
bantuan untuk kaum muslimin, dan perlantikkan beliau sebagai khalifah
adalah satu rahmat untuk kaum muslimin."
Rujukan : Asadul-Ghobah (Allamah Ibnu Atsir Jazuri)
Fadhilat Amal ( Maulana Zakariya Al-Kandahlawi)
Panjangkan artikel ini kepada sahabat-sahabat anda, semoga dapat memberi kesedaran kepada yang leka dan lalai. Kerana semua manusia di atas muka bumi ini sentiasa dalam keadaan rugi, 24 jam sehari, 365 hari setahun sentiasa dalam keadaan rugi, kecuali kepada orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka berpesan-pesan pada perkara yang benar dan berpesan-pesan dengan sabar. Wallahu a'lam.
Klik Share.
Panjangkan artikel ini kepada sahabat-sahabat anda, semoga dapat memberi kesedaran kepada yang leka dan lalai. Kerana semua manusia di atas muka bumi ini sentiasa dalam keadaan rugi, 24 jam sehari, 365 hari setahun sentiasa dalam keadaan rugi, kecuali kepada orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka berpesan-pesan pada perkara yang benar dan berpesan-pesan dengan sabar. Wallahu a'lam.
Klik Share.
0 comments: