Wednesday, November 28, 2012

SULTAN MUHAMMAD AL-FATIH DAN KERUNTUHAN EMPAYAR BYZANTIN.



Pada satu masa ketika Rasulullah bersama sahabatnya sedang mengali parit khandaq, Rasulullah SAW bersabda,

“Constantinople akan jatuh ke tangan tentera Islam. Rajanya adalah sebaik-baik raja, tenteranya adalah sebaik-baik tentera……” (Hadis riwayat Imam Ahmad)

Tentera Islam dalam beberapa misi ketenteraan telah cuba menakluk Kota Constantinople antaranya 5 misi ketenteraan semasa Zaman Kerajaan Umayyah, 1 semasa Pemerintahan Abbasiyah dan 2 misi semasa Zaman Uthmaniah,

Di dalam salah sebuah misi menakluki kota Constantinople semasa zaman Kerajaan Umayyah, seorang sahabat besar Nabi saw iaitu Abu Ayyub Al Ansary R.A. telah syahid dan dimakamkan di bawah dinding kubu Kota Constantinople di atas wasiatnya sendiri.

Apabila ditanya kenapa beliau ingin dimakamkan di situ maka beliau menjawab, “Kerana aku ingin mendengar derapan tapak kaki kuda sebaik-baik raja yang akan mengetuai sebaik-baik tentera semasa mereka membebaskan Constantinople”. Begitulah teguhnya iman seorang sahabat besar Nabi saw.

Hadis Rasulullah menjadi kenyataan selepas 800 tahun kemudian apabila Sultan Muhammad Al-Fatih bersama 150,000 angkatan tenteranya berjaya membebaskan Kota Constantinople.

Siapakah Sultan Muhammad Al Fatih? Apakah kehebatan Baginda dan tentera-tenteranya sehingga disebut “sebaik-baik raja” dan “sebaik-baik tentera” di dalam hadis tersebut.

LATARBELAKANG

Baginda dilahirkan pada 26 Rejab 835 Hijriah (29 Mac 1432 ) di Adrianapolis (sempadan Turki – Bulgaria). Baginda digelar Sultan Muhammad Al Fatih kerana kejayaannya membebaskan Constantinople.

Baginda memerintah selama 30 tahun (855-886H) dan mula menaiki takhta kerajaan semasa berusia 19 tahun. Mangkat pada 4 Rabiul Awal 866H dikatakan kerana Sakit Gout dan ada pula yang berpendapat bahawa baginda di racun.

Baginda seorang yang amat berdisiplin dan seorang cendekiawan, negarawan dan seorang panglima tentera yang mengetuai 25 Misi Ketenteraan semasa hayatnya. Semasa berumur 12 tahun, baginda telah diamanahkan untuk memangku jawatan khalifah pada masa itu oleh bapanya Sultan Murad II,Walaupun pada usia yang sebegitu muda, Baginda telah menunjukkan ciri-ciri kepimpinan yang matang.

Baginda didik untuk menjadi pemimpin yang menyeluruh. Dalam bidang keagamaan, guru baginda adalah Syeikh Shamsuddin Al Wali dikatakan dari keturunan Sayyidina Abu Bakar As-Siddiq R.A. Dalam bidang ketenteraan, baginda dididik oleh Panglima-Panglima Perang dan diajar taktik peperangan, teknik berkuda dan memanah. Baginda juga dikatakan dapat menguasai dan fasih bertutur dalam 7 bahasa iaitu Bahasa Arab, Latin, Greek, Serbia, Turki, Parsi dan Hebrew.

Baginda juga seorang pemimpin yang disegani, warak, tawaduk dan rendah diri. Semasa membina Benteng Rumeli Hissari, Baginda membuka baju dan serbannya, mengangkat batu dan pasir hingga ulama-ulama dan menteri-menteri terpaksa ikut sama bekerja

Baginda seorang yang sentiasa tenang, pendiam, berani, sabar, tegas dan kuat menyimpan rahsia pemerintahan. Baginda sangat menyanjungi ulama dan selalu berbincang dengan ulama dan ahli agama tentang permasalahan negara.

PERSEDIAAN PEMBEBASAN KOTA CONSTATINOPLE

Dalam persediaan baginda sebelum melancarkan serangan untuk membebaskan kota Constantinople telah menampakkan kesungguhan baginda untuk berjaya dalam perancangannya. Baginda meneliti pelan Kota Constatinople setiap malam untuk mengkaji setiap kelebihan dan kelemahan dalam aspek pertahanan Kota tersebut. Dari setiap kelemahan dan kekuatan ini, baginda berbincang dengan Panglima-Panglima Perang dan merancang strategi yang sesuai dan praktikal untuk menyerang Kota Constantinople.

Dari aspek artileri, Baginda mengarahkan dibina peralatan perang termoden seperti meriam besar yang boleh menembak bom seberat 300 kg sejauh 1 batu. Benteng Rumeli Hissari dibina di tebing sebelah Eropah, lebih kurang 5 batu dari Kota Constantinople di mana Selat Bosphorus adalah yang paling sempit.

Bosphorus adalah sebuah selat yang memisahkan Turki bahagian Eropah dan bahagian Asia, menghubungkan Laut Marmara dengan Laut Hitam. Selat ini sepanjang 30 kilometer, dan lebar maksimum 3.7 kilometer pada bagian utara, dan minimum 750 meter antara Anadolu hisar dan Rumeli hisar. Kedalamannya antara 36 hingga 124 meter.

Ia dibina bertentangan dengan Benteng Anadolu Hisar di tebing sebelah Asia yang telah dibina oleh Sultan Bayazid Yildirim dahulu. Benteng ini mengawal rapi kapal-kapal yang melintasi Selat Bosphorus. Baginda juga telah membuat perjanjian damai dengan pihak Wallachia, Serbia dan Hungary untuk memencilkan Constantinople apabila diserang nanti. 


Bagi menaikkan semangat jihad tentera-tenteranya, baginda telah membawa para ulama dan pakar motivasi bersama angkatannya. Apabila gerombolan tenteranya seramai 150,000 berada hamper dengan kubu Kota Constantinople, Baginda mengarahkan dilaungkan azan dan mereka solat berjemaah. Maka bergentaran lah suara laungan takbir angkatan Tentera baginda dan di imami sendiri oleh baginda. Tentera Byzantin mula gentar apabila melihat bagaimana 150,000 Tentera bersolat dibelakang pemimpin mereka.

SERANGAN KE ATAS CONSTANTINOPLE

Setelah segala persiapan lengkap diatur, Baginda menghantar utusan kepada Raja Byzantin meminta beliau menyerah. Keengganan Raja Byzantin untuk menyerah mengakibatkan kota tersebut dikepung. Pada 19 April 1453, serangan dimulakan. Kota tersebut hujani peluru meriam selama 48 hari. Setengah dinding kota dibahagian luarnya rosak tetapi dinding tengahnya masih teguh.

MENARA BERGERAK

Seterusnya Baginda mengarahkan penggunaan menara bergerak yang lebih tinggi dari dinding kubu Byzantine dan memuatkan ratusan tentera. Tentera Byzantin berjaya memusnahkan menara tersebut setelah ianya menembusi dinding tengah kubu mereka.

BANTUAN DARI POPE VATICAN

Tentera Byzantin mendapat semangat apabila Pope di Rome menghantar bantuan kententeraan berupa 5 buah armada yang dipenuhi dengan senjata dan tentera. Perairan Teluk Golden Horn direntang dengan rantai besi untuk menghalang kemaraan armada Uthmaniyah. Ini menaikkan semula semangat tentera Byzantin.

MUNCUL DARI GUNUNG
Keesokan paginya, Tentera Byzantin terkejut melihat kehadiran 72 Armada Perang Uthmaniyah yang berada di perairan Teluk Golden Horn melepasi rantai besi yang direntang oleh Tentera Byzantin. Hasil kebijaksanaan baginda yang menggunakan taktik mengangkut kapal-kapal ke atas gunung dan kemudian meluncurkan semula ke perairan Teluk Golden Horn. Taktik serangan ini diakui oleh para sarjana dan ahli sejarah barat sebagai antara strategi perang terbaik. Armada perang Uthmaniyah membedil Armada perang Byzantin sehingga hampir kesemuanya habis terbakar.

Tentera Byzantin semakin longlai kerana pertahanan mereka sudah Berjaya di bedil oleh Tentera Baginda. Kesempatan ini diambil oleh baginda untuk membakar semangat angkatan tenteranya untuk terus berjuang dan berdoa kepada Allah S.W.T

SERANGAN BERTALI ARUS

Keesokan paginya tentera Uthmaniyah cuba memanjat dinding dalam kubu dengan tangga dan cuba merobohkannya dengan lastik besar. Tentangan sengit pihak Byzantin menyebabkan ramai yang syahid. Baginda memerintahkan tenteranya berundur dan bedilan meriam diteruskan sehingga tengahari.

KARISMA SEORANG PEMIMPIN

Pengepungan selama 53 hari tanpa sebarang tanda-tanda kejayaan telah menelan semangat dan menghilangkan keyakinan tentera Baginda. Pada saat yang genting ini Baginda berucap menaikkan semangat tenteranya, “Wahai tenteraku, aku bersedia untuk mati di jalan Allah. Sesiapa yang mahu syahid ikutlah aku!”.

Mendengarkan itu, Hasan Ulubate, salah seorang tentera Baginda mengetuai sekumpulan kecil 30 tentera membuka dan melompat masuk ke dalam kubu musuh lantas memacak bendera Islam di situ. Mereka kesemuanya gugur syahid setelah dihujani anak panah musuh. Kemudian tentera-tentera Islam menyerbu bertali arus menembusi barisan pertahanan Byzantin sambil melaungkan kalimah Allahu Akbar.

PENAKLUKAN CONTANTINOPLE

Akhirnya, kota ini berjaya dibebaskan pada 20 Jamadil Awal 857/ 29 Mei 1453 oleh seorang pahlawan muda agung iaitu Sultan Muhammad Al-Fateh. Baginda menukar nama Constantinople kepada Islambol (Islam keseluruhan). Gereja Besar St Sophies ditukar kepada Masjid Aya Sofiya. Baginda dengan tawaduknya melumurkan tanah ke dahinya lalu melakukan sujud syukur. Semenjak peristiwa inilah Baginda diberi gelaran “Al Fatih” iaitu yang menang kerana kejayaannya membebaskan Constantinople.

SEBAIK-BAIK RAJA DAN SEBAIK-BAIK TENTERA

Pada kali pertama solat Jumaat hendak didirikan, timbul pertanyaan siapa yang layak menjadi imam. Baginda memerintahkan kesemua tenteranya termasuk dirinya bangun lantas bertanya, “Siapa di antara kita sejak baligh hingga sekarang pernah meninggalkan solat fardhu walau sekali sila duduk!”. Tiada seorang pun yang duduk, kerana tidak seorang pun di antara mereka pernah meninggalkan solat fardhu.

Baginda bertanya lagi, “Siapa di antara kita yang sejak baligh hingga kini pernah meninggalkan solat sunat rawatib sila duduk!”. Sebahagian daripada tenteranya duduk.
Kemudian Baginda bertanya lagi, “Siapa di antara kamu sejak baligh hingga ke saat ini pernah meninggalkan solat tahajjud walaupun satu malam, sila duduk!”. Kali ini semuanya duduk, kecuali Sultan Muhammad Al-Fatih sendiri. Baginda tidak pernah meninggalkan solat fardhu, Solat Sunat Rawatib dan Solat Tahajjud sejak baligh. Inilah dia anak didikan Syeikh Shamsuddin Al Wali.

Berapa ramai yang mengingati 29 Mei sebagai hari pembebasan Kota Constantinople? Berapa ramai yang mengetahui Sultan Muhammad Al-Fatih dan ceritanya sedangkan kita menghafal setiap detik penting pasukan bolasepak kesayangan kita, ataupun artis-artis sanjungan kita. Dari cerita-cerita begini dapat disimpulkan bahawa kekuatan kita selaku umat Islam terletak pada Solat Berjemaah dan Solat Malam seperti Tentera Islam Sultan Muhammad Al-Fatih seperti sabda baginda Rasulullah S.A.W.

“Constantinople akan jatuh ke tangan tentera Islam. Rajanya adalah sebaik-baik raja, tenteranya adalah sebaik-baik tentera……” (Hadis riwayat Imam Ahmad)
 


 

0 comments:

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes