Allah S.W.T mencipta makhluk-makhluknya dengan fitrah suka kepada sakinah (Ketenangan) dengan kehidupan berpasangan (beristeri / bersuami) dan berkeluarga. Secara fundamental, hidup berkeluarga ini lebih berkat,tenteram dan teratur berbanding hidup seperti apa yang dikatakan oleh anak muda sekarang sebagai ‘single’ yakni berseorangan ataupun bersendirian.
Firman Allah S.W.T dalam Surah Ar-Rum ayat 21 yang bermaksud:
Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaannya dan rahmatNya, bahawa Ia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikanNya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang yang berfikir.
Dan setiap kali tiba musim cuti sekolah, maka ramailah pasangan-pasangan di ijab kabulkan. Lumrahnya, setiap bakal pengantin ini ditanya oleh saudara-mara dan kaum kerabat tentang persediaan perkahwinan seperti “Hantaran dah sedia ke semua?”, “Lepas nikah ni nak tinggal di mana?” , “Pelamin tempah kat mana?” , “Photographer dah ada ke?” dan pelbagai soalan yang menjurus kepada aspek persediaan dari segi jasmani sahaja.
Namun, di sebalik itu. Amat jarang sekali bakal pengantin di ajukan dengan soalan-soalan berbentuk rohaniah begini “ Ingat lagi ke masa kursus kahwin ustaz bagitau apa?” ataupun “ Dah faham ke tanggungjawab sebagai suami / isteri? “ , “Apa rukun nikah?” dan sebagainya.
Kadangkala bakal pengantin tidak mengambil peduli tentang tanggungjawab Suami/Isteri dalam rumahtangga yang mereka bina mungkin kerana terlalu sibuk menyediakan persiapan majlis perkahwinan mereka. Saya tidak mahu menyentuh soal Walimatul Urus dalam entri ini, mungkin akan ditulis dalam entri-entri akan datang. Saya cuma ingin membawa para pembaca memikirkan apakah persediaan paling utama dalam menghadapi gerbang perkahwinan?
Persediaan yang paling penting dalam cabaran yang besar ini adalah memahami konsep perkahwinan dan tanggungjawab sebagai suami/isteri. Perkahwinan merupakan ibadah yang menyempurnakan setengah dari agama seseorang seperti dari Al-Baihaqi yang meriwayatkan Hadis daripada Rasulullah yang bermaksud:
“Apabila telah berkahwin seseorang hamba itu, maka dia telah memenuhi separuh dari agamanya. Maka bertakwalah kepada Allah pada separuh yang belum disempurnakan lagi.”
Wajarkah ibadah sebesar ini, hanya dipersiapkan dari sudut material dan fizikal sahaja?
Tanggungjawab Suami
Suami sebagai ketua keluarga bertanggungjawab terhadap kesejahteraan Isteri dan anak-anaknya. Sebagai suami hendaklah sentiasa mengamalkan pergaulan yang baik dengan Isteri,anak-anak dan orang lain. Suami juga dituntut mempunyai sifat sabar, bertolak ansur, pengasih,pemaaf dan bertimbang rasa. Antara tanggungjawab suami adalah seperti berikut:
1. Menyara Isteri seperti makanan dan tempat tinggal.
2. Memberi nafkah batin termasuk menggauli Isteri dengan Baik
3. Menyara Anak-Anak
4. Melindungi Isteri dan Anak-Anak dari segi keselamatan dan kesihatan.
5. Melindungi maruah keluarga dan harta benda.
6. Sentiasa membimbing Isteri dengan ajaran Islam menuju keredhaan Allah S.W.T.
7. Bertanggungjawab mendidik Anak-Anak dan memastikan mereka mendapat pendidikan Islam yang sempurna.
8. Menjadi penasihat dalam menyelesaikan masalah isteri, anak-anak dan jiran tetangga.
Tanggungjawab Isteri
Antara tanggungjawab isteri pula adalah:
1. Menjaga kehormatan diri terutama apabila suami tiada di rumah. Contohnya tidak membenarkan lelaki yang bukan mahram atau yang dibenci suami masuk ke rumah.
2. Patuh terhadap suruhan suami ( Selagi tidak bertentangan dengan Ajaran Islam) dan sentiasa suka melayan suami samaada zahir dan batin.
3. Menumpukan sepenuh kasih sayang kepada suami dan anak-anak.
4. Menjaga kebersihan rumah tangga dan kesihatan diri serta anak-anak.
5. Menjaga Amanah dan harta benda suami.
6. Sentiasa menyimpan rahsia pergaulan suami isteri.
7. Tidak meninggalkan rumah tanpa izin suami kecuali darurat.
8. Berhias diri hanya untuk tatapan suami sahaja dan tidak untuk orang lain khususnya apabila berada diluar rumah. Ketika berada di khalayak ramai, si isteri harus pandai menjaga kesopanan dan sentiasa menutup aurat.
Begitulah antara tanggungjawab Suami/Isteri. Kepada bakal-bakal pengantin adakah anda sudah sedia?. Persiapan perkahwinan ribuan ringgit tidak memberi sebarang erti jika selepas perkahwinan, tanggungjawab-tanggungjawab diatas terabai. Tepuk dada Tanya selera. Wallahu A’lam.
0 comments: