Orang Bertaqwa Mendapat Pertolongan Allah Ketika Titian Sirat
Sahabat yang dirahmati Allah,
Sesungguhnya
pemeriksaan amalan di Padang Mahsyar belum lagi sempurna sehingga
seseorang itu diperiksa atau ditanya mengenai nikmat dan amalannya di
tempat pemeriksaan sewaktu melalui Siratul Mustaqim atau Titian Sirat.
Firman
Allah s.w.t maksudnya : "Dan tiada seorangpun di antara kamu melainkan
akan sampai kepadanya (Neraka Jahannam) (yang demikian) adalah satu
perkara yang mesti (berlaku) yang telah ditetapkan oleh Tuhanmu." (Surah
Mariam ayat 71)
As-Sirat
dari sudut bahasa bermaksud jalan. Manakala dari sudut syariat ianya
merupakan satu jambatan yang dibentang merentasi Neraka Jahannam; untuk
manusia menyeberanginya menuju ke Syurga.
Imam
Al-Nawawi di dalam kitab Syarah-Muslim menulis, ulama besar menetapkan
bahawa sirat itu ialah satu titian di atas permukaan api Neraka Jahanam
di mana semua manusia akan meniti.
Orang
Mukmin akan terselamat disebabkan keimanan dan amal solih yang mereka
lakukan di dunia, manakala orang kafir dan murtad akan terhumban ke
dalamnya.
Orang pertama melalui Titian Sirat ialah Nabi Muhammad s.a.w. yang mengepalai umat lain.
Sabda
Rasulullah s.a.w. yang bermaksud: “Dan direntangkan Sirat di antara dua
jurang Neraka Jahanam, maka akulah Rasul pertama yang melaluinya
bersama umatku yang lulus.”
Tahap
kelajuan seseorang Mukmin meniti titian itu bergantung kepada tahap
keimanan dan amal masing-masing. Semakin tinggi keimanan dan amalan,
semakin laju menuju titian itu.
Dari
Abi Hurairah r.a bahawa Rasulullah s.a.w bersabda tentang As-Sirat:
“…dan padanya (As-Sirat) ada cangkuk atau pengait yang berduri seperti
duri As-Sa’daan melainkan tidak mengetahui kadar besarnya melainkan
Allah; mengait manusia mengikut amalan mereka” (Hadis Riwayat Bukhari
dan Muslim)
Abi
Said Al-Khudriy r.a berkata: “Telah sampai kepadaku bahawa ianya
(As-Sirat) lebih halus dari rambut dan lebih tajam dari pedang” (Hadis
Riwayat Muslim)
Nabi
Muhammad s.a.w sendiri pernah bersabda bahawa “Sesungguhnya Allah
menciptakan Sirat yang berada diatas Neraka, iaitu Jambatan
ditengah-tengah Neraka Jahanam yang sangat licin dan menggelincirkan.
Jambatan ini mempunyai tujuh sekatan, dan setiap sekatan jaraknya sama
dengan perjalanan 3000 tahun. Dalam 3000 tahun itu, 1000 tahun merupakan
tanjakan yang tinggi, 1000 tahun merupakan dataran, dan 1000 tahun
merupakan lereng yang curam. Ia lebih kecil dari rambut, lebih tajam
dari pedang dan lebih gelap berbanding malam yang pekat. Setiap sekatan
mempunyai 7 cabang, dan setiap cabang bentuknya seperi panah yang
hujungnya tajam. Maka, duduklah setiap hamba diatas setiap sekatan
tersebut dan ditanya tentang perintah-perintah Allah s.w.t”
Tujuh sekatan tersebut adalah seperti berikut :
Sekatan Pertama : Mengenai keimanannya kepada Allah s.w.t dan rukun-rukun iman yang lain.
Apabila
seorang manusia terlepas daripada persoalan aqidah ini barulah ia boleh
bergerak menuju ke sekatan kedua pula. Jika di dalam persoalan aqidah
ini terdapat syirik kepada Allah s.w.t. dan telah rosak aqidahnya maka
seseorang itu tidak akan terlepas untuk meneruskan perjalanan dan ia
akan dihumbankan ke dalam Neraka Jahanam.
Firman
Allah s.w.t yang maksudnya : "Sesungguhnya Allah tidak akan mengampuni
dosa syirik dan mengampuni dosa yang selain syirik itu bagi siapa sahaja
yang Dia kehendaki. Barangsiapa mempersekutukan Allah (syirik), maka
sungguh ia telah melakukan dosa yang sangat besar.” (Surah An-Nisaa ayat
48)
Sekatan Kedua : Mengenai solat fardu.
Soalat
fardunya akan diperiksa samaada ia melaksanakannya atau pun tidak.
Adakah ia telah melalai-lalaikan solat sehingga terlepas waktunya.
Adakah dia mengerjakan dengan khusyuk atau tidak semuanya akan diperiksa
satu persatu. Jika ada kekurangan solat fardunya akan di periksa
solat-solat sunat yang lain untuk menampung kekurangan solat fardu
tersebut.
Daripada
Abu Hurairah r.a., Nabi s.a.w. bersabda: "Sesungguhnya amalan pertama
seseorang hamba yang dihisab pada hari kiamat ialah solatnya."
(Hadis Riwayat Abu Daud dan al-Tirmizi )
Sekatan Ketiga : Mengenai puasa Ramadhan.
Daripada
Abu Hurairah r.a. katanya bahawa Nabi s.a.w. bersabda: “Sesiapa yang
tidak meninggalkan percakapan bohong dan berkelakuan buruk sedangkan ia
berpuasa, baginya tidak ada kelebihan (pahala) di sisi Allah selain dari
lapar dan dahaga sahaja yang didapatinya.” (Riwayat Bukhari)
Matlamat puasa bukanlah sekadar meninggalkan makan dan minum, tetapi untuk melemahkan nafsu yang buruk.
Jika
puasa Ramadhannya ada kekurangan ianya akan ditampung dengan puasa
sunatnya. Tetapi jika puasanya tidak sempurna maka dia tidak akan dapat
melepasi sekatan ini dan untuk meneruskan perjalanan ke sekatan keempat.
Sekatan Keempat : Mengenai zakat.
Jika
ketika di dunia dahulu ia engan membayar zakat walaupun hartanya cukup
nisab dan cukup tempuhnya maka ia akan dihalang untuk meneruskan
perjalanan ke sekatan kelima.
Terdapat
hadis Nabi s.a.w yang menceritakan azab bagi mereka yang tidak mahu
membayar zakat. Sabda baginda maksudnya : "Tidaklah pemilik harta
simpanan yang tidak melakukan haknya padanya, kecuali harta simpanannya
akan datang pada hari kiamat sebagai seekor ular jantan aqra’ yang akan
mengikutinya dengan membuka mulutnya. Jika ular itu mendatanginya,
pemilik harta simpanan itu lari darinya. Lalu ular itu
memanggilnya,“Ambillah harta simpananmu yang telah engkau sembunyikan!
Aku tidak memerlukannya.” Maka ketika pemilik harta itu melihat, bahwa
dia tidak dapat menghindar darinya, dia memasukkan tangannya ke dalam
mulut ular tersebut. Maka ular itu memakannya sebagaimana binatang
jantan memakan makanannya".(Hadis Riwayat Muslim)
Sekatan Kelima : Mengenai fardu haji dan umrah ke Baitullah.
Sekiranya
semasa hidup di dunia dahulu ia berkemampuan tetapi
menangguh-nanguhkannya hingga tidak sempat menunaikannya atau tidak
berniat langsung untuk mengerjakan fardu haji maka ianya akan tersekat
disini. Jika seseorang menunaikan haji tetapi niat hatinya supaya
mendapat pangkat 'tuan haji' atau rasa riak maka amalannya juga tidak
akan diterima oleh Allah s.w.t.
Sekatan Keenam : Mengenai wudhu' dan mandi hadas besar.
Jika
diperiksa wudhu'nya adakah sempurna atau pun tidak. Jika wudhu'nya
tidak sempurna dan tidak sah maka solatnya juga tidak sah. Begitu juga
mandi hadas besar jika mandinya tidak sempurna maka ia berkekalan
berhadas besar maka solatnya juga akan tertolak dan menjadi tidak sah.
Sekatan
Ketujuh : Adab terhadap orang tua, talian persaudaraan, dan hubungan
terhadap semua makhluk (samaada ada terdapat perbuatan zalim yang
dilakukan kepada orang lain).
Imam
al-Ghazali meriwayatkan, tempat pemeriksaan ketujuh adalah tempat
pemeriksaan paling sukar untuk melepaskan diri. Persoalan mengenai
kezaliman ke atas manusia diperbincangkan. Disini juga akan diperiksa
adab anak-anak kepada kedua ibu bapanya adakah semasa di dunia ia ada
menderhakai kedua ibu bapanya? Begitu juga hubungan sesama ahli keluarga
atau sesama Muslim adalah pernah memutuskan hubungan silaturahim? dan
sebagainya.
Manusia
yang dizalimi akan menuntut haknya kepada Allah s.w.t maka seseorang
yang pernah melakukan kezaliman tidak akan mudah melepasi sekatan
ketujuh ini walaupun ia terlepas daripada sekatan pertama hingga keenam.
Cepat
atau lambat meniti sirat juga bergantung kepada cepat atau lambatnya
seseorang itu berlumba untuk mencapai keredhaan daripada Allah s.w.t.
Semasa
melintasi Titian Sirat (Siratul Mustaqim), terdapat pelbagai jenis
manusia. Manusia pertama menjejakkan kakinya di Sirath adalah Nabi
Muhammad s.a.w. Baginda akan memimpin kumpulan-kumpulan umatnya menjadi
10 bahagian untuk melintasi Jambatan tersebut.
* Kumpulan Pertama – melintasi bagai cahaya kilat memancar
* Kumpulan Kedua – melintasi bagai angin yang kencang
* Kumpulan Ketiga – melintasi bagai kuda yang baik
* Kumpulan Keempat – melintasi bagai burung yang pantas
* Kumpulan Kelima – melintasi dalam keadaan berlari
* Kumpulan Keenam – melintasi dalam keadaan berjalan
* Kumpulan Ketujuh – berdiri dan duduk
* Kumpulan Kelapan – menarik muka mereka dengan rantai
* Kumpulan Kesembilan dan kesepuluh – tertinggal diatas Sirat dan tidak diizinkan untuk menyeberangi kerana dosa-dosa mereka.
Keadaan-keadaan semasa kumpulan melintasi jambatan Sirath:
Kumpulan
Ketujuh – Mereka berdiri dan duduk akibat kepenatan dan dosa-dosa
terpikul dibelakang mereka. Nabi Muhammad s.a.w. berhenti diatas Sirat.
Setiap kali, Nabi Muhammad s.a.w. melihat seorang dari umatnya
bergelayut di atas Sirat, kemudian ia akan menarik tangannya dan
membangunkan dia kembali.
Kumpulan
Kelapan – mereka menarik muka mereka dengan rantai kerana terlalu
banyak kesalahan dan dosa mereka. Bagi yang buruk, mereka akan menyeru;
“Wahai Muhammad!”, dan Nabi Muhammad s.a.w. akan berkata; “Tuhan!
Selamatkanlah mereka! Tuhan! Selamatkanlah mereka!”
Sahabat yang dikasihi,
Berdasarkan
hadis di atas dan kisah yang jelas mengenai Titian Sirat sedarlah kita
bahawa setiap daripada kita tidak akan terlepas melaluinya sebelum
memasuki Syurga Allah s.w.t. Perlulah kita muhasabah kita akan berada
dikumpulan mana?
Sekiranya
kita termasuk di dalam kumpulan pertama hingga keenam akan terselamat
daripada tergelincir dan terhumban ke dalam Neraka Jahanam, jika kita
termasuk dalam kumpulan ketujuh dan kelapan akan selamat sampai juga
dengan pertolongan Nabi s.a.w tetapi dalam keadaan yang amat azab.
Minta
dijauhilah masuk ke dalam kumpulan kesembilan dan kesepuluh kerana
kumpulan ini akan tertinggal di pertengahan jalan dan tunggu masa untuk
tergelincir ke dalam Neraka Jahanam, na'uzubillahiminzalik.
Marilah
kita pertingkatkan amal ibadah, amal soleh dan amal kebaikan dan
kebajikan dan tinggalkan semua dosa, maksiat dan kemugkaran kepada Allah
s.w.t. untuk kita dapat menyelamatkan diri kita nanti di hari akhirat.
Alangkah ruginya kita bila bertemu Allah s.w.t nanti tidak ada amalan
yang dapat membantu dan menyelamatkan kita dengan siksaan yang dahsyat
iaitu siksaan Neraka Jahanam.
Hanya
jiwa yang beriman dan bertaqwa sahaja akan terselamat daripada azab
yang pedih ketika meniti Sirat dan terselamat daripada azab Neraka
Jahanam.
Disedut dari Forum: Celepakit.net
0 comments: