Tuesday, August 28, 2012

Jenayah Paling Berat Sepanjang Zaman

Allah Azza Wa Jalla berfirman dalam Surah Al-Mudatsir ayat 42 hingga 45 yang bermaksud:

(Setelah melihat orang-orang yang bersalah itu, mereka berkata): "Apakah yang menyebabkan kamu masuk ke dalam (neraka) Saqar?",Orang-orang yang bersalah itu menjawab: "Kami tidak termasuk dalam kumpulan orang-orang yang mengerjakan sembahyang;"Dan kami tidak pernah memberi makan orang-orang miskin;"Dan kami dahulu selalu mengambil bahagian memperkatakan perkara yang salah, bersama-sama orang-orang yang memperkatakannya.

(Surah Al-Mudatsir Ayat 42-45)

Imam Ahmad mengeluarkan, "Jarak antara seorang lelaki dengan kekufuran adalah meninggalkan Solat." Telah meriwayatkan Imam Muslim, " Antara lelaki dengan kemusyrikan atau kekufuran adalah meninggalkan solat." Abu Daud dan Nasai, " Tidak ada antara hamba dan kekufuran kecuali hanyalah meninggalkan solat." Dan At-Tarmizi, " Antara kekufuran dan keimanan adalah meninggalkan solat." Dan Ibnu Majah, " Antara hamba dan kekufuran adalah meninggalkan solat."


Imam At-Tarmizi dan lainnya merawikan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:

"Janji antara kami dan mereka adalah Solat, Siapa yang meninggalkannya, Kafirlah dia."

Rasulullah S.A.W bersabda:

"Amal yang mula-mula ditanyakan kepada hamba pada hari kiamat adalah solatnya. Jika solatnya baik, sungguh dia beruntung dan selamatlah dia. Jika solatnya tidak dijaga, sungguh rugilah dia."

Allah SWT berfirman dalam surah Al-Maun ayat 4-5 yang bermaksud:

"Maka celakalah (Seksalah) bagi orang tersebut kerana mereka itu lalai dari menjaga sembahyangnya."

Imam Ahmad mengeluarkan dengan sanad jayid serta Al-Thabrani dan Ibnu Majah dalam sahihnya bahawa Rasulullah S.A.W pada suatu hari mengingatkan tentang solat. Baginda bersabda:

" Siapa memeliharanya (Solat), maka baginya nur dan selamatlah dia pada hari kiamat. Dan siapa tidak menjaganya, maka tidak ada baginya nur dan keselamatan. Pada hari kiamat, ia bersama Qarun, Hamman, Firaun dan Ubai bin Khalaf."

Setengah ulama memperjelaskan maksud hadis diatas dengan mengatakan. " Dia akan bersama mereka jika mereka lalai solat disebabkan hartanya, samalah dia seperti Qarun. Atau sebab kerajaannya sama seperti Firaun, atau sebab jabatannya maka samalah dia seperti Hamman, atau sebab perniagaannya maka samalah dia seperti Ubay bin Khalaf. Maka dia akan bersama dengan orang yang diserupainya."

Al-Bazzar dari Said bin Abi Waqash, ia berkata, " Aku bertanya kepada Rasulullah S.A.W tentang firman Allah dalam surah Al-Maun:

"Maka celakalah (Seksalah) bagi orang tersebut kerana mereka itu lalai dari menjaga sembahyangnya."

Maka baginda menjawab, " Mereka itu adalah orang-orang yang melambatkan solat," Juga Abu Ya'la dengan sanad hassan dari Musy'ab bin Saad, dia berkata " Kutanya pada bapaku, Wahai Ayah, bagaimana pendapat engkau tentang firman Allah dalam ayat kelima surah al-Maun ?,  Apakah kadang ia lupa dan kadang ia tidak khusyuk." Beliau menjawab "Bukan itu maksudnya. Tapi mensia-siakan waktu solat. Adapan neraka Wail adalah kedasyartan azab. Juga dikatakan, ia merupakan jurang di Jahannam yang kalau di masukkan ke situ gunung dunia, tentu akan lebur dari kepanasan nya. Itulah tempat orang yang lalai dalam solat dan mengakhirkan waktunya kecuali dia bertaubat kepada Allah SWT dan menyesali kesalahannya".

Ulama’ mazhab berbeza pendapat pada bentuk hukuman yang dikenakan ke atas orang yang meninggalkan solat, setelah mereka bersepakat pada keharamannya dan besarnya dosa peninggalnya berdasarkan ayat-ayat Al-Quran dan hadis-hadis yang sahih.

* Mazhab Hanafi: Peninggal solat dihukum fasik dan wajib dipenjarakan dan dirotan dengan kuat sampai keluar darah, sehinggalah dia kembali solat dan bertaubat atau mati di dalam penjara. Dia tidak dibunuh kecuali mengingkari kewajipan solat atau mempersendakannya.

* Jumhur ulama’ daripada mazhab Maliki dan Syafie: Orang yang meninggalkan solat dengan sengaja dihukum bunuh walau pun meninggalkan satu fardhu sahaja. Disuruh agar bertaubat selama tiga hari, jika enggan dijatuhkan hukuman had dengan dipenggal kepalanya. Selepas dibunuh, dimandikan dan disembahyangkan ke atasnya serta ditanam di tanah perkuburan orang Islam kerana dia tidak dikira kafir. Ini juga adalah pendapat yang rajih pada mazhab Hanbali sebagaimana dikatakan oleh Ibn Qudamah dalam Al-Mughni .

Daripada ayat al-quran dan hadis Rasulullah S.A.W yang disebutkan diatas, ternyata meninggalkan solat merupakan jenayah yang paling berat dan perlu dijaga dalam apa jua keadaan sekalipun. Kerjakanlah solat dalam waktunya. Wallahu a'lam.

RUJUKAN:

Mukashafah Al-Qulub, Bab 49, Imam Al-Ghazali
Fathul A’llam syarah Mursyidul Anam, Syed Mohd Al-Jardani, jilid 2, ms 71-73, cetakan Dar ibn Hazm 1997 M; 
Al-Iqna’ syarah Matn Abi Syuja’, Syeikh Al-Khatib As-Syarbini, jilid 1, ms 271, cetakan Darul Kutub Ilmiah 2004 M.
Fathul A’llam, jilid 2, ms 80.
Fathul A’llam, jilid 2, ms 76.
Fathul A’llam, jilid 2, ms78


0 comments:

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes