Friday, November 30, 2012

KELEBIHAN HARI JUMAAT

Alhamdulillah, Syukur ke hadrat ilahi kerana dengan limpah kurniaan dan kasih sayang Nya kita masih hidup dan menghirup udara segar hari Jumaat yang kesekian kalinya. Hari Jumaat adalah hari yang dijadikan sebagai istimewa untuk umat Muhammad SAW seperti dalam hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.a yang bermaksud:

"Nabi SAW bersabda: " Kita (Umat Muhammad) adalah yang terakhir (datang ke dunia), tetapi yang terdahulu di adili dan masuk ke syurga pada hari kiamat. Sedangkan mereka yang diberi kitab lebih dahulu daripada kita, kita pula diberi kitab sesudah mereka. Kita diberikan petunjuk oleh Allah akan kebenaran yang mereka perselisihkan itu, yang telah Allah tunjukkan kepada kita iaitu hari Jumaat. Maka hari (Jumaat) adalah untuk kita, esok (Sabtu) untuk kaum Yahudi dan lusa (Ahad) untuk kaum Nasrani."

(Riwayat Muslim no. 1413 oleh Abu Hurairah r.a)

Keutamaan hari Jumaat bukan sahaja dirasai dan dimaklumi oleh manusia dan malaikat sahaja bahkan turut dirasai oleh semua makhluk-makhluk Allah di bumi termasuklah bumi, langit, angin dan lain-lain. Abi Lubahah bin al-Munzir r.a. meriwayatkan bahawa Nabi SAW bersabda: " ..Tidak ada satu malaikat sekalipun yang hampir dengan Allah, langit dan bumi, angin, gunung-gunung dan lautan, melainkan semuanya memohon belas kasihan kepada Allah (pada hari Jumaat).."

(Riwayat Ibnu Abi Syaibah, Hadis no. 5559)

Dalam satu riwayat, ada diceritakan oleh Imam Ghazali bahawa Ka'ab al- Ahbar seorang tabiin dan ulama Yahudi yang memeluk Islam pada zaman pemerintahan Saidina Abu Bakar r.a pernah berkata: " Burung-burung dan haiwan apabila bertemu antara satu sama lain pada hari Jumaat akan mengucapkan, "Selamat...Selamat hari yang baik."

Dikeluarkan pula oleh al-Dinuri dalam al-Mujalisah, bahawa Bakr bin Abdullah al-Muzniy, beliau berkata: " Burung-burung apabila bertemu antara satu sama lain pada malam Jumaat akan berkata, adakah engkau dapat merasakan bahawa esok adalah hari Jumaat?"

Hari Jumaat juga adalah hari yang mulia dalam seminggu seperti Sabda Rasulullah SAW:

Daripada Abu Hurairah r.a meriwayatkan bahawa Nabi SAW bersabda: "Sebaik-baik hari yang terbit padanya matahari pada hari Jumaat. Pada hari itu diciptakan Adam a.s, pada hari itu juga dimasukkan Adam a.s ke syurga,dan pada hari itu juga dikeluarkan Adam a.s darinya, dan tidak akan berlaku kiamat melainkan pada hari Jumaat."

(Riwayat Muslim, Hadis no. 1411)

Selain dari itu, Hari Jumaat juga digelar penghulu segala hari. Hari Jumaat juga dianggap sebagai hari raya mingguan dalam Islam. Hari yang teragung di sisi Allah SWT dan ia lebih besar dari Hari Raya Puasa dan Hari Raya Korban seperti dalam hadis ini.

Diriwayatkan oleh Ibn Abi Syaibah, Ibnu Majah, al-Baihaqi dalam al-syu'ab, daripada Abu Labahah bin Abdul Munzir r.a. , Rasulullah SAW bersabda:

" Sesungguhnya hari Jumaat adalah penghulu segala hari dan hari yang paling agung di sisi Allah SWT, Ia lebih agung di sisi Allah daripada Hari Raya Korban dan Hari Raya Fitrah. Padanya terdapat 5 keistimewaan lain iaitu diciptakan-Nya Adam, diturunkan Adam ke dunia, hari dimatikan, terdapatnya saat yang mana tidak ada hamba yang bermohon kepada Allah melainkan akan diperkenankannya selagi mana dia tidak meminta yang haram, dan pada hari ini juga berlakunya hari Kiamat. Tidak ada satu pun malaikat yang hampir dengan Allah, langit dan bumi, angin, gunung-ganang dan lautan, melainkan semuanya memohon belas kasihan kepada Allah (pada hari tersebut)."

(Riwayat Ibnu Abi Syaibah, Hadis no. 5559)

Hari Jumaat perlu diperbanyakan Istigfar dan berdoa kepada Allah SWT, kerana utamanya hari Jumaat seperti yang diperkatakan dalam hadis di bawah:

Anas r.a meriwayatkan bahawa Nabi SAW bersabda:

" Sesungguhnya Allah Tabarak wa Ta'ala tidak meninggalkan seorang pun dalam kalangan orang-orang Islam pada hari Jumaat, melainkan ia pasti diberi-Nya pengampunan."

(Riwayat at-Thabarani dalam al-Awsat dengan sanad yang baik, no hadis 4973.)

Abu Hurairah r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: 

"Pada hari Jumaat itu ada satu saat yang mana sekiranya berkebetulan dalam solat seorang hamba, lalu dia bermohon sesuatu kepada Allah, pasti akan diberikan apa-apa yang dimintanya, sambil Nabi SAW mengisyaratkan dengan tangan baginda bagi menggambarkan betapa sekejapnya saat tersebut"

(Riwayat Al-Bukhari, hadis no. 883 dan Riwayat Muslim hadis no. 1406)

Begitulah antara kelebihan hari Jumaat. Berselawatlah, beristigfarlah dan buatlah sebanyak-banyak kebajikan pada hari Jumaat kerana semua pahala akan dilipat gandakan oleh Allah SWT dan tinggalkan kejahatan keran setiap dosa juga akan dilipat gandakan. Ka'ab r.a berkata: " Sesungguhnya pada hari Jumaat, seluruh makhluk termasuklah jin dan manusia akan berasa gementar; dan pada hari itu juga dilipat gandakan kebajikan dan kejahatan dan hari yang mana akan berlakunya Kiamat."

(Riwayat Ibnu Abi-Syaibah, hadis no. 5557)

Wallahu A'lam.

0 comments:

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes