Monday, February 18, 2013

DASYATNYA DOSA RIBA

Iman al-Nawawi r.a berkata: Ijma (disepakati semua sahabat dan ulama) tentang pengharaman riba dan ia termasuk dalam kategori dosa besar. Ada pendapat ulama seperti Iman al-Mawardi dalam kitab al-Majmu' (9/931) menyatakan riba juga diharamkan oleh semua agama.

Di dalam Islam, pemakan dan pemberi riba diperangi oleh Allah s.w.t dan Rasulullah S.A.W berdasarkan kepada ayat dari Surah al-Baqarah ayat 278 dan 279 yang bermaksud;

" Wahai orang yang beriman, bertakwalah kamu kepada Allah SWT dan tinggallah saki baki riba sekiranya kamu benar-benar beriman, sekiranya kamu tidak meninggalkannya, isytiharkanlah perang dengan Allah dan Rasulnya."

Perkataan "saki baki" dalam ayat ini menunjukkan sesiapa yang ingin benar-benar menurut sunnah dan menjadi mukmin sejati, dia perlu mengambil berat dan perhatian serius tentang riba serta menjauhkan diri daripadanya.

Ibn Abbas r.a diriwayatkan berkata:

" Akan dikatakan kepada pemakan riba di hari kiamat, ambillah senjata kamu untuk berperang dengan Allah SWT."

Abu Hanifah r.a pula berkata: "Inilah ayat al-Quran yang paling menakutkan".

Harta dan kehidupan pemberi dan penerima riba juga tidak berkat, kehilangan berkat ini didefinasikan sebagai contoh harta mudah hilang atau habis, dan mereka sentiasa merasa miskin dan fakir ( walaupun mempunyai simpanan wang yang banyak ). Hilangnya sifat amanah, cenderung kepada rasuah, penipuan dan tamak haloba. Pendek kata, semua perbuatannya membawa kepada maksiat, kefasikan dan penghinaan di sisi Allah SWT. Keberkatan pada rezekinya hancur seperti dalam firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 276 yang bermaksud:

" Allah menghancurkan keberkatan kerana riba dan menambahkan keberkatan daripada sedekah. Dan Allah tidak suka kepada orang kafir lagi berdosa."

Daripada Ibn Mas'ud bahawa Nabi SAW bersabda yang bermaksud:

"Sesungguhnya riba walaupun lumayan ( dari sudut kuantiti ) tetapi hasilnya ia akan membawa kepada sedikit dan papa"

Riba juga diklasifikasikan antara tujuh dosa besar berdasarkan hadis Nabi SAW yang bermaksud:

"Jauhilah tujuh dosa besar; syirik, sihir membunuh tanpa hak, makan harta anak yatim, makan riba, lari dari medan peperangan (kerana takut) dan menuduh perempuan suci dengan zina (tanpa saksi yang adil)."-Hadis Riwayat al-Bukhari (no:2615) dan Muslim (no:272)

Dosa yang diberati keatas pemberi dan pemakan riba adalah seperti berzina dengan ibubapa sendiri berdasarkan sabda Nabi SAW yang bermaksud:

"Riba mempunyai 73 pintu, riba yang paling ringan (dosanya) seperti lelaki berzina dengan ibunya." - Ibn Majah (2/764), al-Hakim (2/37), Sahih menurut syarat al-Bukhari dan Muslim.

Dan dalam hadis yang lain, Nabi SAW bersabda yang bermaksud:

"Satu dirham riba yang dimakan oleh seorang lelaki dalam keadaan dia mengetahuinya lebih buruk daripada berzina sebanyak 36 kali."- Musnad Ahmad (2/225), al-Daruqutni (hlmn 295), al-Albani mengatakan sahih dalam Ghayat al-Maram fi Takhrij Hadis al-Halal wa al-Haram lil al-Qaradhawi (hlmn 103).

Dr. Zaharuddin Abd. Rahman dalam bukunya 'Keingkaran Menempah Ancaman, Riba dan Isu Kewangan Semasa menyatakan hadis diatas bukan untuk merendahkan dosa zina,tetapi memfokuskan akan besarnya dosa riba ke atas pelakunya.

Saya mengingatkan diri saya dan para pembaca agar kita dapat membuat pemeriksaan keatas sumber pendapatan kita, dan pinjaman-pinjaman bank yang telah kita buat untuk memastikan kita tidak terjebak ke dalam dosa riba. Waallahu a'lam.

Artikel ditulis berdasarkan Buku Keingkaran Menempah Ancaman, Riba dan Isu Kewangan Semasa hasil tulisan Dr. Zaharuddin Abdul Rahman terbitan Telaga Biru.

0 comments:

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes