Sunday, March 10, 2013

MENGINGATI MATI MELEMBUTKAN HATI

Ketika Amirul Mukminin Khalifah Umar bin al-Khattab RA mengalami sakratul maut, beliau meminta kepada anaknya supaya meletakkan pipinya di atas tanah. Umar RA menangis sambil berkata: ”Semoga Allah mengampuniku, Wahai Tuhan Pemilik Kerajaan yang tidak akan hilang, kasihanilah orang yang kerajaannya telah hilang.”

Mati yang diimpikan oleh orang beriman adalah mati yang membawa kepada kehidupan yang baru. Hidup dalam pelukan rahmat Tuhannya. Sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud: ”Janganlah kamu menyangka bahawa orang-orang yang terbunuh di jalan Allah itu mati, bahkan mereka itu hidup, di sisi Tuhannya dengan mendapat rezeki.” Surah Ali ‘Imran: Ayat 169.

Terbunuh di jalan Allah bermakna mati syahid ketika berperang fi sabilillah. Bagaimanakah pula halnya dengan hamba-hamba Allah yang mati di atas katilnya? Yang menderita sakit atau orang yang mati tanpa sempat mengucapkan kata-kata perpisahan kepada keluarganya? Adakah mereka mendapat nikmat hidup di sisi Allah SWT sama seperti orang yang mati syahid?

Sebenarnya mereka juga akan mendapat kenikmatan yang tak kurang hebatnya berbanding saudara-saudara mereka yang syahid itu. Ini dinyatakan menerusi sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: ”Jika salah seorang di antara kalian mati, maka ditampakkan kepadanya tempat tinggalnya setiap pagi dan petang. Jika ia ahli syurga maka ia termasuk penghuni syurga dan jika ia ahli neraka maka ia termasuk penghuni neraka. Lalu dikatakan: ”Inilah tempat tinggalmu hingga Allah membangkitkanmu pada hari kiamat.” Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim.

Ibnu Umar berkata: ”Perumpamaan orang mukmin saat roh dikeluarkan dari jasadnya adalah seperti orang yang keluar dari dalam penjara ke alam yang bebas. Ketika dia meninggal dunia ditampakkan kepadanya kurniaan Allah dan kemuliaan-Nya yang tak pernah dilihatnya di dunia. Tentu dia tidak mahu kembali lagi ke dunia sepertimana dia tidak mahu kembali ke dalam perut ibunya.”


Mengaku diri tidak takut mati adalah pembohongan yang nyata. Siapa yang tak gerun berhadapan dengan pertuduhan yang mempunyai bukti dan saksi yang kukuh. Tiada tipu helah yang dapat dilakukan, walaupun ketika hidup dia terkenal sebagai seorang yang petah bercakap, pandai berbelit lidah, memutar balik fakta dengan pembohongannya tetapi di alam barzakh nanti, wajah mayatnya yang pucat itu jelas menunjukkan tiada berguna lagi lidah yang fasih berhujah.

Tangannya yang menunjukkan kuasa ketika di dunia telah terikat oleh kafannya sendiri. Kaki yang kukuh menginjak kepala orang-orang miskin itu kini jadi umpan kala dan ular berbisa. Wajah yang dulu berseri hingga ramai manusia yang suka memandang dan memuji telah rosak binasa oleh semut-semut tanah yang menyakitkan apabila mereka mula menggigit, mengunyah perlahan-lahan daging di tulang pipinya, berpindah ke mulut yang busuk lantaran suka mengumpat, naik ke tulang hidung yang sombong, kedua biji mata yang gatal dan bernafsu itu kini binasa oleh tikus tanah yang kelaparan. Tulang-tulang rusuk dihimpit bumi yang marah oleh kezaliman yang dilakukannya dahulu. Jika semua manusia boleh mendengar jeritan orang yang disiksa di dalam kuburnya nescaya tiada lagi kehidupan di muka bumi ini.

Masihkah ada rasa takut yang lebih dahsyat daripada ketakutan melalui malam pertama di dalam kubur? Bagaimana dengan rasa sedih yang menghantui mayat yang terbuang sendirian? Di manakah isterinya, anak-anak dan saudara mara yang mengasihi? Mereka tentu sibuk membahagi harta yang ditinggalkan. Bagaimana perasaaan lelaki yang mengetahui isterinya melupakan cinta mereka berdua? Kisah cinta yang terkubur bersama jasad yang tiada layak untuk dicintai lagi. Bukankah ramai lelaki lain yang boleh menjadi calon penggantinya nanti? Adakah kesedihan yang lebih dahsyat daripada menyaksikan semua orang yang menangis itu meninggalkannya sendirian tanpa teman dan pertolongan?

Perasaan sedih dan takut boleh menggoncangkan hati siapa sahaja di dunia ini, tetapi kita boleh mengubat kesedihan dan mengawal ketakutan itu jika kita masih hidup. Bagaimana jika kita sudah mati? Siapa yang akan menolong kita dari siksaan perasaan sebegitu?

Hanya amal saleh yang mampu menjadi teman di kala takut dan sedih. Mata yang membaca al-Quran, lidah yang berzikir, tangan yang bekerja kerana Allah SWT dan kaki yang tegak kerana iman. Semuanya menjadi cahaya di kegelapan kubur. Di dalamnya ada pemandangan syurga ataupun neraka. Hingga ke hari kebangkitan yang dijanjikan.

SUMBER:http://drjuanda.com/?p=652


Friday, February 22, 2013

AMALAN HASANAH PADA HARI JUMAAT: DATANG AWAL KE MASJID

Imam Ahmad meriwayatkan daripada Abu Ghalib, berkata Abu Umamah bahawa Nabi S.A.W bersabda:

"Para Malaikat duduk di depan pintu masjid dengan membawa buku catatan untuk mencatat (orang-orang yang masuk masjid). Jika Imam keluar (untuk memulakan khutbah), maka buku catatan itu dilipat"

Kemudian Abu Ghalib bertanya, "wahai Abu Umamah!, bukankah orang yang datang sesudah Imam keluar mendapat Jumaat?" Dia menjawab: "Tentu, tetapi ia tidak termasuk golongan yang dicatat dalam buku catatan."

Abu Hurairah r.a meriwayatkan bahawa Nabi S.A.W bersabda:

"Apabila tiba hari Jumaat, pada pintu-pintu masjid terdapat para malaikat yang mencatat urutan orang yang datang, yang pertama dicatat pertama. Jika Imam duduk (berada di atas mimbar), mereka pun menutup buku catatan dan ikut mendengarkan khutbah." (Riwayat al-Bukhari, no 2972.)

Dalam hadis yang lain, Abu Hurairah r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:

"Sesungguhnya para malaikat berada di pintu-pintu masjid bagi mencatat manusia yang datang menurut darjat kedudukan mereka: Orang itu datang pada waktu sekian, sekian. Yang ini pula datang pada waktu sekian. Orang itu datang ketika Imam sedang berkhutbah, yang ini pula sempat mendapatkan solat tetapi tidak sempat mendapatkan khutbah."
(Riwayat Ibnu Abi Syaibah, no 5564)

Marilah bersama kita ubah diri kita. Datang awal ke masjid untuk bersolat Jumaat dan semoga nama kita dicatat oleh para malaikat yang berada di pintu masjid. Wallahu a'lam.







Monday, February 18, 2013

DASYATNYA DOSA RIBA

Iman al-Nawawi r.a berkata: Ijma (disepakati semua sahabat dan ulama) tentang pengharaman riba dan ia termasuk dalam kategori dosa besar. Ada pendapat ulama seperti Iman al-Mawardi dalam kitab al-Majmu' (9/931) menyatakan riba juga diharamkan oleh semua agama.

Di dalam Islam, pemakan dan pemberi riba diperangi oleh Allah s.w.t dan Rasulullah S.A.W berdasarkan kepada ayat dari Surah al-Baqarah ayat 278 dan 279 yang bermaksud;

" Wahai orang yang beriman, bertakwalah kamu kepada Allah SWT dan tinggallah saki baki riba sekiranya kamu benar-benar beriman, sekiranya kamu tidak meninggalkannya, isytiharkanlah perang dengan Allah dan Rasulnya."

Perkataan "saki baki" dalam ayat ini menunjukkan sesiapa yang ingin benar-benar menurut sunnah dan menjadi mukmin sejati, dia perlu mengambil berat dan perhatian serius tentang riba serta menjauhkan diri daripadanya.

Ibn Abbas r.a diriwayatkan berkata:

" Akan dikatakan kepada pemakan riba di hari kiamat, ambillah senjata kamu untuk berperang dengan Allah SWT."

Abu Hanifah r.a pula berkata: "Inilah ayat al-Quran yang paling menakutkan".

Harta dan kehidupan pemberi dan penerima riba juga tidak berkat, kehilangan berkat ini didefinasikan sebagai contoh harta mudah hilang atau habis, dan mereka sentiasa merasa miskin dan fakir ( walaupun mempunyai simpanan wang yang banyak ). Hilangnya sifat amanah, cenderung kepada rasuah, penipuan dan tamak haloba. Pendek kata, semua perbuatannya membawa kepada maksiat, kefasikan dan penghinaan di sisi Allah SWT. Keberkatan pada rezekinya hancur seperti dalam firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 276 yang bermaksud:

" Allah menghancurkan keberkatan kerana riba dan menambahkan keberkatan daripada sedekah. Dan Allah tidak suka kepada orang kafir lagi berdosa."

Daripada Ibn Mas'ud bahawa Nabi SAW bersabda yang bermaksud:

"Sesungguhnya riba walaupun lumayan ( dari sudut kuantiti ) tetapi hasilnya ia akan membawa kepada sedikit dan papa"

Riba juga diklasifikasikan antara tujuh dosa besar berdasarkan hadis Nabi SAW yang bermaksud:

"Jauhilah tujuh dosa besar; syirik, sihir membunuh tanpa hak, makan harta anak yatim, makan riba, lari dari medan peperangan (kerana takut) dan menuduh perempuan suci dengan zina (tanpa saksi yang adil)."-Hadis Riwayat al-Bukhari (no:2615) dan Muslim (no:272)

Dosa yang diberati keatas pemberi dan pemakan riba adalah seperti berzina dengan ibubapa sendiri berdasarkan sabda Nabi SAW yang bermaksud:

"Riba mempunyai 73 pintu, riba yang paling ringan (dosanya) seperti lelaki berzina dengan ibunya." - Ibn Majah (2/764), al-Hakim (2/37), Sahih menurut syarat al-Bukhari dan Muslim.

Dan dalam hadis yang lain, Nabi SAW bersabda yang bermaksud:

"Satu dirham riba yang dimakan oleh seorang lelaki dalam keadaan dia mengetahuinya lebih buruk daripada berzina sebanyak 36 kali."- Musnad Ahmad (2/225), al-Daruqutni (hlmn 295), al-Albani mengatakan sahih dalam Ghayat al-Maram fi Takhrij Hadis al-Halal wa al-Haram lil al-Qaradhawi (hlmn 103).

Dr. Zaharuddin Abd. Rahman dalam bukunya 'Keingkaran Menempah Ancaman, Riba dan Isu Kewangan Semasa menyatakan hadis diatas bukan untuk merendahkan dosa zina,tetapi memfokuskan akan besarnya dosa riba ke atas pelakunya.

Saya mengingatkan diri saya dan para pembaca agar kita dapat membuat pemeriksaan keatas sumber pendapatan kita, dan pinjaman-pinjaman bank yang telah kita buat untuk memastikan kita tidak terjebak ke dalam dosa riba. Waallahu a'lam.

Artikel ditulis berdasarkan Buku Keingkaran Menempah Ancaman, Riba dan Isu Kewangan Semasa hasil tulisan Dr. Zaharuddin Abdul Rahman terbitan Telaga Biru.

Friday, February 15, 2013

AMALAN HASANAH PADA HARI JUMAAT: BACA 3 QUL SELEPAS SOLAT JUMAAT


Membaca surah-surah tertentu setelah memberi salam seusai solat jumaat. Digalakkan membaca surah-surah berikut setelah memberi salam:

1. Surah Al-Fatihah (7 kali)
2. Surah Al-Ikhlas (7 kali)
3. Surah Al-Falaq (7 kali)
4. Surah An-Nas (7kali)

Diriwayatkan oleh Asma' binti Abu Bakar R.A bahawa:

"Sesiapa yang membaca surah Al-Fatihah, QUL HUWALLAHU AHAD, QUL A'UZUBIRABBIL FALAQ, dan QUL A'UZU BIRABBINAS pada hari jumaat, maka dia akan dipelihara sehingga jumaat hadapan".

(Riwayat Al-Baihaqi dalam al-Syu'ab, no hadis 2342)

Diriwayatkan oleh Humaid bin Zanjuwaih daripada Ja'afar:

Selepas jumaat ( hadis no. 171) dan diriwayatkan pula seperti demikian daripada al-Zuhri dengan tanpa surah al-Fatihah. Beliau menyebutkan sejurus salam imam dan sebelum berkata-kata sebanyak tujuh kali, tujuh kali.

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes