Daripada Abu Umamah R.A, Rasulullah S.A.W bersabda yang bermaksud:
"Bertakwalah
kepada Tuhan kamu, tunaikanlah solat lima waktu kamu, berpuasalah pada
bulan kamu (Ramadhan), tunaikanlah zakat harta kamu, dan taatilah orang
yang mengendalikan urusan kamu, nescaya kamu akan memasuki syurga Tuhan
kamu."- (Riwayat al-Tirmizi)
Penerangan:
Dikhususkan amalan dengan
perkataan "Kamu" agar terdapat kesesuaian antara perkataan yang
berkaitan dengan balasan iaitu "Syurga Tuhan Kamu". Juga dilangsungkan
akad jual beli antara hamba dari Tuhannya, sebagaimana yang difirmankan
Allah S.W.T dalam ayat 111 Surah at-Taubah:
Maksudnya
: Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang yang beriman akan
jiwa mereka dan harta benda mereka dengan (balasan) bahawa mereka akan
beroleh Syurga, (disebabkan) mereka berjuang pada jalan Allah maka (di
antara) mereka ada yang membunuh dan terbunuh. (Balasan Syurga yang
demikian ialah) sebagai janji yang benar yang ditetapkan oleh Allah di
dalam (Kitab-kitab) Taurat dan Injil serta Al-Quran; dan siapakah lagi
yang lebih menyempurnakan janjinya daripada Allah? Oleh itu,
bergembiralah dengan jualan yang kamu jalankan jual-belinya itu, dan
(ketahuilah bahawa) jual-beli (yang seperti itu) ialah kemenangan yang
besar.
Al- Thibi mengatakan: Hikmah disandarkan dengan perkataan "kamu" ialah:
i) Memberitahu bahawa
amalan-amalan yang mempunyai kaifiat yang tertentu ini adalah antara
ciri-ciri khusus yang dimiliki oleh umat ini.
ii) Menggesa agar bersegera mematuhi perintah dengan perintah yang diberikan.
iii) Mengingatkan bahawa di
sebalik penambahan perkataan ini terdapat penambahan ganjaran yang lebih
tinggi dan sempurna itulah syurga. Perkataan syurga pula disandarkan
kepada sifat ketuhanan (rabb). Ia memberikan bayangan maksud tentang
kelebihan pemerhatian daripada Tuhan dengan memberikan nikmat yang
berbeza daripada umat-umat yang lain.
(Tuhfah al-Ahwazi)
0 comments: