Wednesday, November 28, 2012

PERKAHWINAN TAHUN INI



Allah S.W.T mencipta makhluk-makhluknya dengan fitrah suka kepada sakinah (Ketenangan) dengan kehidupan berpasangan (beristeri / bersuami) dan berkeluarga. Secara fundamental, hidup berkeluarga ini lebih berkat,tenteram dan teratur berbanding hidup seperti apa yang dikatakan oleh anak muda sekarang sebagai ‘single’ yakni berseorangan ataupun bersendirian. 

Firman Allah S.W.T dalam Surah Ar-Rum ayat 21 yang bermaksud: 
Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaannya dan rahmatNya, bahawa Ia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikanNya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang yang berfikir. 

Dan setiap kali tiba musim cuti sekolah, maka ramailah pasangan-pasangan di ijab kabulkan. Lumrahnya, setiap bakal pengantin ini ditanya oleh saudara-mara dan kaum kerabat tentang persediaan perkahwinan seperti “Hantaran dah sedia ke semua?”, “Lepas nikah ni nak tinggal di mana?” , “Pelamin tempah kat mana?” , “Photographer dah ada ke?” dan pelbagai soalan yang menjurus kepada aspek persediaan dari segi jasmani sahaja. 

Namun, di sebalik itu. Amat jarang sekali bakal pengantin di ajukan dengan soalan-soalan berbentuk rohaniah begini “ Ingat lagi ke masa kursus kahwin ustaz bagitau apa?” ataupun “ Dah faham ke tanggungjawab sebagai suami / isteri? “ , “Apa rukun nikah?” dan sebagainya. 

Kadangkala bakal pengantin tidak mengambil peduli tentang tanggungjawab Suami/Isteri dalam rumahtangga yang mereka bina mungkin kerana terlalu sibuk menyediakan persiapan majlis perkahwinan mereka. Saya tidak mahu menyentuh soal Walimatul Urus dalam entri ini, mungkin akan ditulis dalam entri-entri akan datang. Saya cuma ingin membawa para pembaca memikirkan apakah persediaan paling utama dalam menghadapi gerbang perkahwinan? 

Persediaan yang paling penting dalam cabaran yang besar ini adalah memahami konsep perkahwinan dan tanggungjawab sebagai suami/isteri. Perkahwinan merupakan ibadah yang menyempurnakan setengah dari agama seseorang seperti dari Al-Baihaqi yang meriwayatkan Hadis daripada Rasulullah yang bermaksud: 

“Apabila telah berkahwin seseorang hamba itu, maka dia telah memenuhi separuh dari agamanya. Maka bertakwalah kepada Allah pada separuh yang belum disempurnakan lagi.” 

Wajarkah ibadah sebesar ini, hanya dipersiapkan dari sudut material dan fizikal sahaja? 

Tanggungjawab Suami 

Suami sebagai ketua keluarga bertanggungjawab terhadap kesejahteraan Isteri dan anak-anaknya. Sebagai suami hendaklah sentiasa mengamalkan pergaulan yang baik dengan Isteri,anak-anak dan orang lain. Suami juga dituntut mempunyai sifat sabar, bertolak ansur, pengasih,pemaaf dan bertimbang rasa. Antara tanggungjawab suami adalah seperti berikut: 

1. Menyara Isteri seperti makanan dan tempat tinggal. 

2. Memberi nafkah batin termasuk menggauli Isteri dengan Baik 

3. Menyara Anak-Anak 

4. Melindungi Isteri dan Anak-Anak dari segi keselamatan dan kesihatan. 

5. Melindungi maruah keluarga dan harta benda. 

6. Sentiasa membimbing Isteri dengan ajaran Islam menuju keredhaan Allah S.W.T. 

7. Bertanggungjawab mendidik Anak-Anak dan memastikan mereka mendapat pendidikan Islam yang sempurna. 

8. Menjadi penasihat dalam menyelesaikan masalah isteri, anak-anak dan jiran tetangga. 

Tanggungjawab Isteri 

Antara tanggungjawab isteri pula adalah: 

1. Menjaga kehormatan diri terutama apabila suami tiada di rumah. Contohnya tidak membenarkan lelaki yang bukan mahram atau yang dibenci suami masuk ke rumah. 

2. Patuh terhadap suruhan suami ( Selagi tidak bertentangan dengan Ajaran Islam) dan sentiasa suka melayan suami samaada zahir dan batin. 

3. Menumpukan sepenuh kasih sayang kepada suami dan anak-anak. 

4. Menjaga kebersihan rumah tangga dan kesihatan diri serta anak-anak. 

5. Menjaga Amanah dan harta benda suami. 

6. Sentiasa menyimpan rahsia pergaulan suami isteri. 

7. Tidak meninggalkan rumah tanpa izin suami kecuali darurat. 

8. Berhias diri hanya untuk tatapan suami sahaja dan tidak untuk orang lain khususnya apabila berada diluar rumah. Ketika berada di khalayak ramai, si isteri harus pandai menjaga kesopanan dan sentiasa menutup aurat. 

Begitulah antara tanggungjawab Suami/Isteri. Kepada bakal-bakal pengantin adakah anda sudah sedia?. Persiapan perkahwinan ribuan ringgit tidak memberi sebarang erti jika selepas perkahwinan, tanggungjawab-tanggungjawab diatas terabai. Tepuk dada Tanya selera. Wallahu A’lam.

Tuesday, November 27, 2012

22 AMALAN YANG MENJERNIHKAN HATI




1. Sesiapa yang berwuduk saat ingin tidur dan meminta supaya ALLAH berikan kebaikan dunia dan akhirat pasti akan di kabulkan - Tirmizi. Sunat tidur dalam keadaan berwuduk.
2. Sesiapa yang berselawat tidak kiralah banyak mana hitunganya setiap hari akan dapat keberkatan dalam apa jua dengan syarat ia berusaha mencari keredhaanNya.

3. Sesiapa yang berselawat 41 kali sehari, insyaALLAH, akan dihindarkan daripada sifat tercela seperti hasad dengki, riak dsbnya dalam dirinya.

4. Berselawat 33 kali sehari dapat menjernihkan hati, mudah memahami akan sesuatu ilmu yang diajarkan, di samping beroleh ketenangan fikiran.

5. ALLAH akan hapuskan dosa-dosa kecil dengan kita mengamalkan berselawat sebanyak 11 kali tiap kali selesai menunaikan solat fardu.

6. Sewaktu menghadapi hidangan, Nabi membiasakan diri dengan mengambil makanan yang terdekat, kemudian baru di ambil hidangan yang lainnya sebagai simbolik kesopanan.

7. Amalkan membaca selawat sebanyak 1000 kali sehari, insyaALLAH akandi kurniakan kebijaksanaan pemikiran. Di samping itu berusahalah untuk menerokai pelbagai ilmu.

8. Sesiapa yang berniat mandi(untuk solat jumaat) kemudian pakai pakaian terbaik & wangian lalu solat jumaat, dosanya akan diampun hingga jumaat berikutnya-Ahmad.

9. Sesiapa yang mengamalkan berselawat 11 kali tiap hari, dengan izin ALLAH dirinya akan lebih dihargai oleh orang lain.

10. Uthman bin Affan riwayatkan bahawa Nabi SAW apabila berwuduk, beliau membasahi janggutnya-Tirmizi

11. Nabi tidak pernah mencela makanan. Jika baginda suka, dia makan dan sebaliknya beliau tinggalkan-Bukhari. Apatah lagi jika makanan itu pemberian orang lain.

12. Sahabat meriwayatkan: Aku lihat Nabi SAW makan dengan 3 jari(ibu jari telunjuk & tengah)-Muslim. Jarang sekali beliau makan dengan 4 @ 5 jari kecuali ada keperluan

13. Menurut Sayyid Ahmad dahlan, sesiapa berselawat walau sekali pada malam jumaat, saat mautnya kelak akan dipermudahkan ALLAH seperti yang dihadapi oleh para nabi

14. Setiap penyakit ada penawarnya. Bacalah selawat tujuh kali pada air dan minum. InsyaALLAH, perut yang sakit atau memulas akan sembuh

15. Perbaharui wuduk tiap kali bersolat krn padanya terdapat banyak fadhilat. Hadith: Sesiapa yang berwuduk dalam keadaan suci, ALLAH catatkan 10 kebaikan baginya-Abu Dawud.

16. Sesiapa yang mengamalkan membaca selawat tiga kali setiap selepas solat lima waktu akan dihilangkan kebuntuan fikiran dalam menghadapi apa jua masalah

17. Nabi SAW sering menghadap kekanan sedikit setelah solat berjemaah supaya makmum dapat melihat wajahnya. Sebaiknya imam berzikir dan doa seketika bersama makmum

18. Allah akan hapuskan dosa-dosa kecil dengan kita mengamalkan beselawat sebanyak 11 kali tiap kali selesai menunaikan solat fardu

19. Nabi tak makan sambil bersandar-Bukhari. Ertinya, baginda makan dengan duduk condong sedikit ke hadapan bagi elakkan dirinya terlalu kenyang & mudahkan penghadaman

20. Menurut Syihab Ahmad, sesiapa berselawat tiga kali tiap selesai solat subuh, Maghrib dan isyak, ALLAH akan menghindarkannya drp sebarang bencana

21. Nabi sering beristinsyaq air kedalam hidung dan menghembuskannya. Selain membersihkan, ia juga mengelakkan sebarang penyakit yang berkaitan dengan hidung

22. Setelah bersolat Nabi memohon ampun ( astagfirullahalaziim) tiga kali-Muslim. Dalam riwayat yang lain, Nabi adakalanya beristighfar 75 kali sehari


Sunday, November 25, 2012

MITOS ISRAEL





Israel adalah sebuah entiti 'haram' yang mengamalkan ideologi pengembangan atau penjajahan (expansionist). Ia tidak pernah mengisytiharkan sempadan daerahnya dan berkeras untuk tidak melakukannya. Oleh yang demikian, penduduk Palestinlah yang akan menjadi mangsa kerana tidak ada seincipun tanah milik mereka yang selamat daripada diambil alih oleh Israel. Untuk menyembunyikan kesalahan dan jenayah yang dilakukan, mereka mencipta banyak 'fakta' palsu, mengubah fakta sejarah tertubuhnya negara Israel dan 'fakta-fakta' ini disebarluaskan di dalam buku-buku teks sekolah dan pelbagai saluran lain. Banyak mitos telah timbul akibat usaha ini dan ianya diguna secara meluas oleh mereka yang simpati dengan Israel sebagai alasan untuk meng'halal'kan tindakan Israel.

Mitos 1: Palestin adalah tanah tak berpenghuni sebelum 1948

"Satu kawasan tak berpenghuni untuk mereka yang tiada tempat menghuni" – Israel Zangwill Kalimat tersebut menjadi kata-kata keramat bagi meyakinkan orang-orang yahudi supaya berpindah ke penempatan Zionist di Palestin. Sehinggalah tahun 1904 apabila Zangwill menyedari tentang kesilapannya. Di dalam ucapannya di New York, beliau menyatakan: " Terdapat.. satu permasalahan besar yang tidak berani disentuh oleh Zionist.. bumi Palestin telahpun mempunyai penghuni. Bandar Jurusalem mempunyai dua kali ganda kepadatan penduduk berbanding Amerika Syarikat, dengan 52 penduduk bagi setiap batu persegi, dan orang Yahudi tidak lebih daripada 25 peratus." - Israel Zangwill

Mitos 2: Zionist punya hak dari segi sejarah/agama terhadap bumi suci 
(Holy Land)

Fakta: Yahudi Ortodoks percaya bahawa ajaran Taurat hanya membenarkan kepulangan ke bumi Palestin melalui bantuan langit (ketetapan Tuhan). Usaha manusia untuk menubuhkan kembali negara Israel adalah dikira bertentangan dengan ajaran agama (haretic) dan ramai rabbi yahudi ortodoks mengutuk Theodore Herzl dan Zionisme secara terbuka.

Mitos 3: Zionisme dan Judaisma (Agama Yahudi) adalah sama

Fakta: Theodore Herzl (pengasas Zionisme) bukanlah orang yang beragama, dan Zionisme merupakan doktrin nationalis yang terpisah sepenuhnya daripada agama. Sebahagian petikan daripada dairinya termasuk yang berikut: '.. Aku tidak mengikut kehendak agama..' (Theodor Herzl: Dairies, Victor Gollanz, 1958) '.. Aku tak beragama (agnostic)..' (p54 Theodor Herzl Dairies, passim) '.. Bagi aku, persoalan yahudi bukanlah persoalan sosial maupun agama.. ia adalah persoalan kebangsaan.. Palestin adalah bumi bersejarah kita yang tak dapat kita lupakan.. namanya sahaja cukup berkesan sebagai mewakili suara orang-orang kita.' [Herzl, L'Etat Juif, p.209].

Mitos 4: Israel mendakwa dalam tahun 1948, penduduk palestin meninggalkan kediaman mereka secara sukarela dan pemimpin Arab menyeru penduduk berbuat demikian melalui siaran radio.

Fakta: Wartawan daripada Ireland menyiasat dakwaan ini dan mendapati ianya tidak berasas sama sekali. Walaubagaimanapun, terdapat bukti yang menunjukkan stesyen radio Zionist membuat siaran di dalam bahasa Arab menyuruh penduduk Palestin meninggalkan kediaman mereka. [The Spectator, 12 Mei 1961] Pengganas Zionist bertanggungjawab keatas pembunuhan beramai-ramai dan kekacauan yang menakutkan penduduk sehingga ramai yang terpaksa meninggalkan kediaman mereka. Pembunuhan beramai-ramai di Deir Yassin pada 9 dan 10 April 1948 telah dirakamkan dengan terperinci. Berita pembunuhan ini disebarkan secara meluas untuk menakut-nakutkan penduduk yang masih belum meniggalkan kediaman. Strategi Zionis berjaya dan ribuan penduduk Palestin mula meninggalkan kediaman dan harta benda mereka - dan tidak pulang-pulang sehingga sekarang.

Mitos 5: Israel dijajah oleh orang Palestin

Fakta: Penggunaan terminologi 'teroris' dan 'militan' secara sengaja digunakan untuk merujuk kepada pihak Palestin dan 'autoriti' dan 'askar' digunakan untuk merujuk kepada pihak Israel telah berjaya mengelirukan ramai orang di dunia tentang hakikat konflik yang sebenar. Satu kajian pada tahun 2004 oleh Universiti Glasgow mendapati ramai orang British mempercayai, berdasarkan laporan berita, bahawa orang Palestinlah yang menduduki Israel. Dalam tahun 2006, sebuah akhbar melaporkan bahawa Israel diduduki oleh orang Palestin, menunjukkan betapa ceteknya kesedaran umum tentang isu. Adalah jelas Israel menduduki tanah Palestin. Resolusi Majlis Keselamatan PBB 446, 465 dan 484, antara lain, menetapkan Tebing Barat, Jurusalem Timur dan Gaza sebagai tanah jajahan dan peruntukan di bawah Konvensyen Geneva ke-empat bagi tanah jajahan adalah terpakai. Tambahan lagi, Mahkamah Antarabangsa (ICJ) semasa membuat keputusan berkaitan pagar pemisah, menetapkan bahawa Tebing Barat, Semenanjung Gaza dan Jurusalem Timur adalah sebuah tanah jajahan.

Mitos 6: Arab memulakan perang 1967 

Fakta: "Konsentrasi tentera Mesir di perbatasan Sinai bukanlah bukti Nasser [Perdana Menteri Mesir] benar-benar akan menyerang kita. Kita mestilah berlaku jujur sesama kita. Kita membuat keputusan untuk menyerang dia." - Menachem Begin, Perdana Menteri Israel, Jun 1967 "Kita menghantar traktor pembajak ke kawasan yang tidak ada apa-apa di zon bukan militer (demilitarised area), dan kita sedar Syiria akan mula menyerang, sekiranya mereka tidak menyerang, kita akan arahkan traktor untuk terus maju, sehinggalah mereka rasa tergugat dan mula menembak. Kemudian kita akan menyerang balas menggunakan artileri dan juga tentera udara, dan itulah yang sebenarnya." - Moshe Dayan, Menteri Pertahanan semasa Perang 1967 - The New York Times, 11 Mei 1997

Mitos 7: Kritikan terhadap Israel/Zionist adalah anti-Semitik 

Fakta: Anti-Zionisme sering kali disamakan dengan anti-Semitik oleh penyokong Israel yang ingin menutup mulut pengkritik Israel, walau bagaimana benar sekalipun. Sesiapa sahaja yang mengkritik tindakan Israel dan mendedahkan pelanggaran hak asasi manusia akan dilabel dan dituduh sebagai anti-Semitik. Hakikatnya, anti-zionisme adalah penentangan terhadap Zionisme sebagai gerakan politik antarabangsa yang ingin menubuhkan negara Yahudi secara eksklusif di bumi Palestin. Sifat negara tersebut adalah diskriminasi dan perkauman terhadap semua yang bukan berbangsa Yahudi, terutamanya kepada penduduk asal Palestin. Ramai para anti-Zionist menyokong kewujudan satu negara yang didiami oleh semua orang di sana, baik dari Israel atau Palestin tanpa diskriminasi. 

Definisi anti-Semitik mengikut New Oxford Dictionary of English sebagai; Semite: mereka yang bercakap bahasa Semitik, termasuk bangsa Yahudi dan Arab Berasal daripada Latin moden, Semita melalui Latin yang asal daripada Greek Shem, anak nabi Nuh (as) di dalam Bible, dimana mereka ini dipercayai keturunannya. 

Semitik: 1. berkaitan dengan atau merujuk kepada serumpun bahasa yang termasuk di dalamnya Hebrew, Bahasa Arab, dan Aramaic dan sebahagian bahasa kuno seperti Phonecian dan Akkadian, yang termasuk sebahagian daripada daripada rumpun Afro-Asiatic. 

Semitik: 2. berkaitan dengan atau merujuk kepada orang yang menggunakan bahasa berikut; terutamanya Hebrew dan Bahasa Arab. Adalah jelas bahawa Anti-Zionist dan anti-Semitik adalah sangat berbeza antara satu sama lain. Anti-Semitik adalah sesuatu yang terkutuk tanpa pengecualian, namun anti-Zionist adalah satu posisi yang dibolehkan.

Artikel di ambil di SINI


Saturday, November 24, 2012

BANI ISRAEL,YAHUDI DAN ZIONIS.




Sudah lebih seminggu Gaza dibedil oleh Tentera Pengecut Israel dengan alasan mempertahankan diri. Dan banyak pula respons samaada di Facebook, Twitter dan sebagainya antaranya mengutuk tindakan Tentera Israel Laknatullah menyerang orang awam dan kanak-kanak. Namun di sebalik kutukan dan boikot yang dijalankan masih ada yang kurang faham, apa bezanya antara Bani Israel,Yahudi dan Zionis.

Mari kita mulakan dengan Bani Israel. Bani Israel berasal dari keturunan Nabi Yaakub, Nabi Yaakub juga dikenali dengan nama Israel. Nabi Yaakub dikurniakan oleh Allah SWT dengan 12 anak, termasuklah Nabi Yusuf, Yahuza dan Bunyamin. 12 anak Nabi Yaakub ini membentuk 12 suku dalam Bani Israel pada zaman Nabi Musa seperti firman Allah SWT dalam Surah Al-A'raf  ayat 160 yang bermaksud:

"Dan kami membahagikan mereka (Bani Israil) menjadi dua belas suku, sebagai golongan-golongan besar, dan Kami wahyukan kepada Nabi Musa, ketika kaumnya meminta air kepadanya: "Pukulah batu itu dengan tongkatmu." Maka terpancarlah daripadanya dua belas mata air. Tiap-tiap golongan (di antara mereka) mengetahui tempat masing-masing. Dan Kami naungi mereka dengan awan, dan Kami turunkan kepada mereka "Mann" dan "Salwa". (Lalu Kami berfirman): "Makanlah dari baik-baik yang kami telah kurniakan kepada kamu". Dan tidaklah mereka menganiaya Kami (dengan kekufuran mereka), tetapi mereka adalah menganiaya diri mereka sendiri."

Dan bermula pada zaman Nabi Musa ini sebahagian daripada mereka mengambil ajaran baginda dan menggunakan Nama Yahudi yang berasaskan kitab Thalmud yang kononnya adalah Kitab Taurat Asli yang diturunkan kepada Nabi Musa. Semua Yahudi adalah Bani Israel dan bukan semua Bani Israel adalah Yahudi. Keturunan Yahudi ini diturunkan melalui darah bermakna tiada orang yang boleh menganuti agama Yahudi melainkan turun melalui darah. Tidak semua Bani Israel berfahaman Yahudi ada sebahagian Bani Israel beragama Islam dan Kristian.

Zionis pula adalah gerakan yang dipelopori oleh Moses Hess pada abad ke-19 dan diperkuatkan lagi oleh Theoder Herzl's. Zionis merupakan gerakan politik orang Yahudi yang menyokong penubuhan semula "tanah yang dijanjikan" untuk bangsa Yahudi di Palestin. Theoder Herzl's seorang Yahudi berbangsa Hungary telah mengumpulkan orang Israel dari seluruh pelusuk dunia membawa idea penubuhan negara haram Israel . Pada tahun 1895,orang-orang Yahudi mengadakan kongres yang pertama di Kota Bale Switzerland, dihadiri oleh anggotanya sekitar 300 orang yang mewakili 50 organisasi Zionis yang bertebaran di seluruh dunia. Pertemuan itu terus berlangsung dari semasa ke semasa. Tujuannya adalah untuk menganalisa strategi mereka yang akan dilancarkan demi mencapai maksud. Dengan itu tertubuhnya Zionis Antarabangsa. Mereka tidak membenarkan rakyat Palestin berpindah dari satu kota ke satu kota yang lain kecuali dengan selepas mendapat visa dari rejim Zionis Israel.


Tetapi, bukan semua Yahudi itu adalah Zionis di mana ada juga penganut Yahudi yang membangkang kekejaman Rejim Zionis. Ini kerana, rejim Zionis bersifat sekular, tidak berpegang pada asal dan bertentangan dengan melakukan kezaliman.



Secara ringkasnya, Bani Israel adalah merujuk kepada Bangsa, Yahudi merujuk kepada Agama dan Zionis adalah gerakan politik untuk menjajah tanah Palestin.



FREEDOM FOR PALESTINE.

Monday, November 12, 2012

BUKTI CINTA SEJATI



Imam Al-Ghazali menulis dalam kitabnya Mukashafah al-Qulub,

Barangsiapa mengaku 4 hal tanpa bukti 4 hal, pengakuannya adalah dusta.

1. Barangsiapa mengaku cinta syurga, namun tidak taat, jelas dia bohong.

2. Siapa mengaku cinta Nabi SAW, namun tidak menyukai ulama dan fuqara maka pengakuannya tidak benar.

3. Barangsiapa mengaku takut akan neraka, tetapi tidak meninggalkan maksiat, tanda dia dusta.

4. Barangsiapa mengaku cinta kepada Allah SWT, padahal dia mengeluh apabila di timpa bala, maka pengakuannya adalah bohong.

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes