Thursday, September 27, 2012

Bahaya Fitnah Dalam Hidup


SEBAGAI manusia, selagi hidup kita akan berinteraksi dengan orang lain. Setiap hari kita berkomunikasi dengan orang di sekeliling dan dari situ kita dapat memproses maklumat serta membina hubungan dalam bermasyarakat.

Orang yang enggan berinteraksi sebenarnya adalah orang yang tidak berada dalam realiti kehidupan yang hakiki dan dia sebenarnya tidak menunaikan tuntutan sebagai manusia.

Orang yang suka bersendirian akan lebih terdedah kepada hasutan syaitan sebagaimana yang disabdakan oleh Nabi SAW: “Sesungguhnya syaitan itu seperti serigala kepada manusia sebagaimana serigala kepada ternakan. Ia menerkam kambing yang bersendirian dan terpencil. Maka, jauhilah kamu daripada berpecah belah, dan wajiblah kamu bersama-sama jemaah, orang ramai dan masjid.” (riwayat Ahmad)

Namun, dalam kehidupan bermasyarakat, kita perlu menjaga akhlak dalam percakapan dengan orang lain. Ketika berkomunikasi, antara perkara penting yang perlu diberi perhatian adalah kebenaran fakta yang disampaikan kepada kita dan sejauh mana ketepatan maklumat yang kita sampaikan kepada orang lain.

Bak kata pepatah “terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya”.

Islam menganggap fitnah satu daripada sifat mazmumah (tercela) dan dilarang Allah seperti dalam firman-Nya yang bermaksud:


Fitnah itu lebih bahaya daripada pembunuhan. (al-Baqarah: 191)

Jangan kamu ikuti setiap orang yang banyak bersumpah lagi hina, yang banyak mencela, yang gemar menyebarkan fitnah. (al-Qalam: 29).

Oleh itu, kita perlu menjaga dua perkara dalam berinteraksi iaitu input dan output. Di kebanyakan waktu dan ketika, kita perlu mempunyai usaha dalam menapis maklumat yang diterima.

Justeru, Allah SWT memerintahkan kita untuk tabayyun iaitu menganalisis dan mengkaji terlebih dahulu maklumat yang kita perolehi. Firman Allah SWT yang bermaksud:
 
Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan.
 
(al-Hujurat: 6)

Sikap tabayyun ini sangat perlu kerana berkemungkinan maklumat yang sampai kepada kita adalah tidak benar ataupun merupakan fitnah yang sengaja diciptakan untuk memburukkan seseorang.

Dalam hal ini pendekatan yang betul sangat penting agar kita tidak terperangkap. Justeru, apabila menerima satu-satu maklumat jangan mudah menerimanya tanpa terlebih dahulu dipastikan kebenarannya atau difahami maklumat berkenaan.

Sebagai contoh, seorang hakim tidak boleh membuat keputusan tanpa bersikap adil dalam memperolehi maklumat. Justeru, hakim perlu memanggil kedua-dua pihak sama ada tertuduh atau yang menuduh.

Kita tidak boleh menghukum seseorang dengan sentimen. Islam mengajar kita menghukum berdasarkan maklumat yang tepat.

Ia seperti yang disebut dalam satu kaedah, “Menjatuhkan satu-satu hukuman dalam sesuatu perkara hendaklah berdasarkan tasawur yang jelas tentang perkara tersebut”.

Dalam sejarah umat Islam, kita menyaksikan betapa fitnah membawa bencana dan malapetaka dalam masyarakat. Fitnah inilah yang membawa kepada pembunuhan Saidina Uthman r.a yang dituduh menjalankan dasar kronisme dan nepotisme dalam pentadbirannya.

Fitnah juga menyebabkan berlaku pertembungan di antara para sahabat besar seperti Saidina Ali bin Abi Talib r.a dan Muawiyah bin Abi Sufyan r.a.

Munir al-Ghadban menyebut dalam kitabnya berkenaan Muawiyah bin Abi Sufyan: “Aku tidak berpendapat bahawa adanya suatu peribadi di dalam sejarah umat Islam yang terdiri daripada kalangan para sahabat yang awal, yang ditarbiah dengan tangan Rasulullah SAW dan mereka yang hidup dengan wahyu langit, lalu diperburukkan, dibohongi mengenainya dan didustakan kepadanya seperti yang terkena pada Muawiyah bin Abi Sufyan r.a”

Wednesday, September 26, 2012

Kisah Pengislaman Saidina Umar Al-Khattab


Saidina Umar Al-Khattab adalah seorang yang dibangga-banggakan oleh kaum muslimin. Semangat keislamannya masih digeruni oleh orang kafir sehingga ke hari ini walaupun telah menjangkau ribuan tahun. Sebelum memeluk Islam, Saidina Umar adalah orang yang paling kuat menentang dan menyeksa orang Islam malahan beliau juga senantiasa cuba berusaha untuk membunuh Rasulullah SAW.
 
Pada suatu hari dikisahkan, kaum musyrikin Mekah telah bermesyuarat. Adakah sesiapa yang sanggup untuk membunuh Muhammad? Lalu Umar berkata "Saya akan melakukannya."
 
Musyrikin Mekah berkata "Hanya engkau sahaja yang boleh melakukan pembunuhan itu." Umar lantas bangun dan membawa sebilah pedang untuk membunuh Rasulullah SAW.
 
Semasa dalam perjalanan dan sibuk memikirkan perancangan beliau untuk membunuh Rasulullah SAW, Umar telah bertemu dengan seorang lelaki bani Zuhrah yang bernama Sa'ad bin Abi Waqqas (sesetengah perawi menamakan sahabat yang lain). Lelaki itu bertanya "Wahai Umar, hendak ke manakah engkau? "
 
Lalu Umar menjawab, "Aku sedang memikirkan untuk membunuh Muhammad." 
 
Lelaki itu berkata, "Bagaimana engkau boleh merasa selamat dari bani Hasyim, bani Zuhrah dan bani Abdul Manaf ? Mereka akan membunuh kamu sebagai tindakan balas".
 
Mendengarkan kata-kata Sa'ad bin Abi Waqqas, Umar naik berang lalu mengeluarkan pedangnya sambil berkata "Nampaknya engkau pun telah meninggalkan agamamu (iaitu memeluk Islam). Biar aku bereskan engkau terlebih dahulu."
 
Sa'ad bin Abi Waqqas juga mengeluarkan pedang dan berkata "Ya!, aku juga telah memeluk Islam."
 
Pertarungan hampir tercetus antara mereka. Sa'ad bin Abi Waqqas berkata "Ambillah tahu hal keluargamu dahulu, adik perempuan dan iparmu juga telah memeluk Islam." Mendengarkan berita itu, kemarahan Umar jadi meluap-luap dan beliau bergegas menuju ke rumah adiknya.
 
Di rumah adik Saidina Umar, Khabbab sedang mengajarkan Al-Quran kepada pasangan suami isteri itu dalam keadaan semua pintu tertutup. Umar meminta supaya pintu dibuka.
 
Mendengarkan keadaan itu, Khabbab segera menyembunyikan diri dari Umar. Dalam keadaan kelam kabut tersebut, lembaran-lembaran yang tertulis ayat Al-Quran telah tertinggal di luar.
 
Adiknya telah membuka pintu dan Umar mengetuk kepala adiknya itu dengan sesuatu yang ada ditangannya menyebabkan kepala adiknya berlumuran darah.
 
Umar berkata "Wahai musuh kepada dirimu sendiri, kamu juga telah meninggalkan agamamu." Selepas itu Umar masuk ke dalam rumah, beliau bertanya "Apakah yang sedang kamu lakukan?, Suara siapakah yang aku dengar tadi?".
 
Iparnya menjawab, "Kami sedang berbual-bual sahaja".
 
Umar bertanya lagi, " Adakah kamu telah meninggalkan agamamu dan menganut agama baru?"
 
Iparnya menyambut, "Bagaimana jika agama baru itu benar?"
 
Kata-kata iparnya telah membuatkan Umar naik berang, beliau menarik janggut iparnya, menerkam, menjatuhkannya lalu memukul iparnya sepuas hati.
 
Adiknya cuba meleraikan pergelutan tersebut tetapi ditampar oleh Umar menyebabkan mulut adiknya berdarah. Lalu Adik Umar berkata kepada Umar "Wahai Umar!, Kami dipukul hanya kerana kami memeluk Islam, Sememangnya kami telah pun memeluk Islam, Buatlah apa-apa yang kamu suka."
 
Umar ternampak lembaran-lembaran yang tertulis ayat suci Al-Quran yang ditinggalkan oleh Khabbab dalam keadaan tergesa-gesa tadi. Beliau meminta kepada adiknya untuk melihat apa yang tertulis di lembaran tersebut. Kemarahan Umar telah mula reda setelah memukul dengan bertubi-tubi tadi dan perasaan malu mula timbul kerana adik perempuannya berlumuran darah akibat pukulannya.
 
"Tunjukkan lembaran itu kepadaku" pinta Umar
 
"Kamu tidak suci!, tangan yang tidak suci tidak boleh menyentuhnya", balas adiknya.
 
Walau dipinta berkali-kali oleh Umar, namun adiknya tetap berkeras tidak mahu menunjukkan lembaran itu kepada orang yang tidak mandi junub dan tidak berwuduk.
 
Kemudian Umar akur dan beliau mandi terlebih dahulu sebelum menyentuh dan membaca lembaran suci itu. Di lembaran itu tertulis Surah Toha, Umar membaca surah itu sehingga ke ayat:
 

Yang bermaksud : "Sesungguhnya Akulah Allah; tiada tuhan melainkan Aku; oleh itu, sembahlah akan Daku, dan dirikanlah sembahyang untuk mengingati Daku.
Surah Toha Ayat 14
 
Keadaan beliau berubah sama sekali. Lalu Beliau berkata, "Baiklah, bawalah aku berjumpa dengan Muhammad."
 
Mendengarkan kata-kata itu, Khabbab keluar dari persembunyiannya dan berkata, " Wahai Umar!, Aku menyampaikan berita gembira kepadamu. Semalam ialah malam Jumaat, Rasulullah SAW telah berdoa, "Ya Allah!, Pilihlah antara Umar atau Abu Jahal yang engkau lebih suka untuk menguatkan Islam." (Saidina Umar dan Abu Jahal terkenal dengan kekuatan). Nampaknya doa Baginda telah diperkenankan untuk dirimu". Selepas itu Umar telah pergi bertemu Rasulullah SAW dan memeluk Islam pada pagi Jumaat.
 
Pengislaman Saidina Umar telah menyebabkan semangat orang kafir mula luntur. Namun jumlah orang Islam di Mekah pada waktu itu masih kecil berbanding dengan Orang Kafir.  Oleh sebab itu, Kaum Musyrikin Mekah semakin marah dan sentiasa merancang untuk menghapuskan orang Islam.
 
Namun dengan keislaman Saidina Umar Al-Khattab, Orang Islam telah berani bersolat di Masjidil Haram. Abdullah bin Mas'ud berkata, "Keislaman Umar ialah satu kejayaan untuk orang Islam, penghijrahan beliau ialah satu bantuan untuk kaum muslimin, dan perlantikkan beliau sebagai khalifah adalah satu rahmat untuk kaum muslimin." 
 
Rujukan : Asadul-Ghobah (Allamah Ibnu Atsir Jazuri) 
Fadhilat Amal ( Maulana Zakariya Al-Kandahlawi)

Panjangkan artikel ini kepada sahabat-sahabat anda, semoga dapat memberi kesedaran kepada yang leka dan lalai. Kerana semua manusia di atas muka bumi ini sentiasa dalam keadaan rugi, 24 jam sehari, 365 hari setahun sentiasa dalam keadaan rugi, kecuali kepada orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka berpesan-pesan pada perkara yang benar dan berpesan-pesan dengan sabar. Wallahu a'lam.

Klik Share.

 

Sunday, September 23, 2012

Renungkan & Timbangkan

Klik pada gambar untuk paparan lebih jelas

Hisablah diri kamu sebelum dihisab (oleh Allah). Timbanglah diri kamu sebelum ditimbang (oleh Allah). Sesungguhnya timbangan hari ini lebih ringan bagimu pada hari esok (hisab selepas mati). Hiasilah dirimu untuk pembentangan terbesar yang disebut oleh Allah; Pada hari itu kamu semua dihadapkan (untuk hitungan amal) tidak ada suatu pun yang tersembunyi (kepada Allah) daripada kamu.

Surah Al-Haqqah:18
Sumber: Tafsir Ibnu Katsir

Saturday, September 22, 2012

Need For Solat : Most Wanted

Klik pada gambar untuk paparan lebih jelas.

Friday, September 21, 2012

Hadis Akhir Zaman : Siri 4


Assalamualaikum w.b.t, terdapat banyak hadis baginda Rasulullah SAW yang menyebut dan menceritakan tentang tanda-tanda akhir zaman. Di sini akan di beberapa siri akan datang di kongsikan beberapa hadis baginda Rasulullah SAW tentang perihal akhir zaman dan dicatatkan catatan sejarah yang berkaitan dengan hadis tersebut.


SIRI 4

Kesilapan Golongan Anti Hadith


Daripada Miqdam bin Ma'dikariba r.a. berkata Bahawasanya Rasulullah s.a.w. bersabda, "Hampir tiba suatu masa di mana seorang lelaki yang sedang duduk bersandar di atas katilnya, lalu disampaikan orang kepadanya sebuah hadis daripada hadisku maka ia berkata : "Pegangan kami dan kamu hanyalah kitabullah (al-Quran) sahaja. Apa yang dihalalkan oleh al-Quran kami halalkan. Dan apa yang ia haramkan kami haramkan". Kemudian Nabi s.a.w. melanjutkan sabdanya: "Padahal apa yang diharamkan oleh Rasulullah s.a.w. samalah hukumnya dengan apa yang diharamkan oleh Allah s.w.t."

(Riwayat Abu Daud).

Kebanggaan Masyarakat Dengan Membina Masjid

Daripada Anas bin Malik r.a berkata bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: Tidak akan tiba hari kiamat, sehingga manusia bermegah-megah dan berlebih-lebihan dalam urusan masjid.

(Riwayat Abu Dawud).

Kesilapan Masjid Menjadi Tempat Urusan Dunia Sahaja

Dari Anas bin Malik r.a.berkata, bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: Akan datang kepada manusia suatu masa, percakapan mereka dalam masjid hanyalah mengenai urusan dunia semata. Allah tidak memerlukan mereka. Dan janganlah kamu duduk bersama mereka (pada waktu dalam masjid).

(Riwayat Hakim).

Kesilapan Ahli Ibadah Yang Jahil Dan Qari Yang Fasik

Daripada Anas r.a. ia berkata bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: Kelak, di akhir zaman, akan ada ahli ibadah yang bodoh dan para qari yang fasik.

(Riwayat Ibnu 'Adi).

Golongan yang menjadikan lidahnya sebagai alat untuk mencari makan

Daripada Sa'ad bin Abi Waqash r.a. berkata bahawa Rasulullah s.a.w bersabda: Tidak akan terjadi kiamat, sebelum muncul suatu golongan yang mencari makan melalui lidah-lidah mereka, seperti sapi yang makan dengan lidah-lidahnya.

(Riwayat Ahmad).

Bahaya Ramai Orang Muda Menyebut Dalil Agama

Rasulullah s.a.w. telah bersabda: "Akan muncul di akhir zaman nanti, suatu kaum yang terdiri dari orang-orang muda yang masih mentah fikirannya (cetek faham agamanya). Mereka banyak mengucapkan perkataan Khairil Bariyah (firman Allah dan hadis Rasul), tetapi iman mereka masih lemah. Pada hakikatnya mereka telah keluar agama seperti anak panah yang lepas dari busurnya. Di mana sahaja kamu dapat menemuinya, maka hapuskanlah mereka itu, siapa yang dapat menghapus mereka, kelak akan mendapat pahala di hari kiamat. "

(Riwayat Bukhari dan Muslim)

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes